Tabung Pinjaman Pelajaran

Tabung Pinjaman Pelajaran (TPP) Kementerian Pendidikan Tinggi merupakan satu Kumpulan Wang Amanah Tabung Pusingan Pinjaman Pelajaran Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Akta Kewangan 1957.

Pinjaman ini diberikan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian peringkat sijil di Politeknik dan Kolej Komuniti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi.

Peminjam yang menerima pinjaman di bawah TPP ini, perlu membayar balik pinjaman tersebut 6 bulan selepas menamatkan pengajiannya atau mendapat pekerjaan (yang mana terdahulu).

KPT telah menetapkan pembayaran secara ansuran sebanyak RM125 sebulan. Walau bagaimanapun, pembayaran melebihi jumlah tersebut amatlah digalakkan.

Peminjam perlu mematuhi jadual pembayaran yang telah ditetapkan. Peringatan akan dikeluarkan sekiranya pelajar gagal mematuhinya.

Surat tuntutan bayaran balik pinjaman akan dihantar kepada peminjam dalam tempoh enam (6) bulan selepas mereka menamatkan pengajian. Bagi kes peminjam yang menarik diri atau gagal dalam pengajian, surat tuntutan akan dikeluarkan dan dihantar kepada peminjam secara serta-merta setelah status pengajian peminjam dari Politeknik / Kolej Komuniti yang berkenaan diterima.

Sejarah

    • 1988-2005
      Pengurusan program pembiayaan dalam bentuk pinjaman pelajaran di bawah Tabung Pinjaman Pelajaran (TPP) bagi pelajar yang mengikuti pengajian peringkat sijil di politeknik dan kolej komuniti telah dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mulai kemasukan tahun 1988 hingga 2005.
    • 2005
      Tanggungjawab dan peranan untuk menguruskan pinjaman TPP dipindahkan ke Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mulai kemasukan Julai 2005 susulan pewujudan KPT pada tahun 2004.
    • 2007
      Pengurusan bayaran balik TPP dilaksanakan di KPT.
    • 2010
      Mulai 1 November 2010 Bahagian Biasiswa, KPT menguruskan sepenuhnya operasi kutipan bayaran balik TPP bagi kemasukan tahun 1988 - 2005 di KPM dan Julai 2005 - sekarang di KPT (sekarang dikenali sebagai Kementerian Pendidikan Tinggi). Ini adalah susulan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan Siri 64 Bil. 2 Tahun 2009 pada 29 Jun 2009.

Cetak Emel