LAMAN UTAMA
    WAKIL MBJ
    FAQ
    PERLEMBAGAAN
    TAKWIM
 
SOAL JAWAB MENGENAI MAJLIS BERSAMA JABATAN
  1. Apa itu MBJ?
  2. MBJ atau Majlis Bersama Jabatan adalah landasan bagi saluran dua hala antara pihak pekerja dan pihak pengurusan untuk berkomunikasi dalam menyuarakan pendapat, pandangan serta menyumbang idea demi kepentingan dan kebaikan sesuatu organisasi. Di Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, majlis ini dianggotai oleh wakil dari pengurusan yang terdiri dari pihak pegawai kementerian dan wakil pihak pekerja yang terdiri dari kumpulan pegawai bawah gred 48.

  3. Bagaimana sejarah sehingga tertubuhnya MBJ dalam perkhidmatan awam?
  4. MBJ diperkenalkan sebagai jentera perundingan diperingkat Jabatan sejak wujudnya Interim Joint Council pada tahun 1946 dan kemudiannya dinamakan Majlis Whitley Jabatan pada tahun 1950. Apabila Majlis Whitley Jabatan dibubarkan pada tahun 1969, kerajaan telah membuat kajian dan menyelaras bentuk dan perjalanan jentera perundingan ini dengan memperkenalkan penubuhan Majlis Bersama Jabatan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bil. 5 Tahun 1973. Surat-surat Pekeliling Perkhidmatan seterusnya telah memberi perincian, penekanan dan pindaan terhadap pengoperasian MBJ di sesuatu organisasi.

  5. Apakah tujuan MBJ KPT ditubuhkan?
  6. Tujuan MBJ di peringkat KPT ditubuhkan adalah seperti berikut:-

    1. Untuk memperoleh seluas-luas kerjasama antara KPT dengan pegawai serta kakitangan KPT dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan kelicinan kerja dan kebajikan pekerja berkenaan
    2. Untuk mengadakan jentera bagi mengurus soal-soal mengenai syarat bekerja; dan
    3. Untuk mengumpul buah fikiran, pendapat dan pandangan daripada pekerja-pekerja melalui wakil rasmi KPT


  7. Bagaimana MBJ KPT beroperasi?
  8. Seperti mana dalam organisasi awam lain, MBJ KPT terdiri dari kakitangan KPT yang mewakili pihak pengurusan KPT (yang disebut sebagai Pihak Pegawai) dan kakitangan yang terdiri dari gred 44 kebawah (yang disebut Pihak Pekerja). Menurut perlembagaan MBJ, ahli Pihak Pegawai terdiri dari KSU, KPT dan 10 orang pegawai yang dilantik oleh KSU yang mengetuai bahagian dan jabatan dalam KPT. Manakala, Pihak Pekerja dianggotai oleh kakitangan yang dipilih dalam satu mesyuarat agung pekerja yang dilangsungkan 2 tahun sekali. Seramai 14 orang anggota dipilih yang mewakili kumpulan pengurusan dan professional, kumpulan sokongan 1 dan kumpulan sokongan 2.
    KSU, KPT akan mempengerusikan MBJ KPT empat kali setahun.
    Dalam mesyuarat tersebut, wakil dari kedua-dua pihak akan mengutarakan isu dan pendekatan yang paling baik untuk menangani isu yang dibawa.

  9. Apakah isu-isu yang boleh dibawa oleh wakil ke MBJ?
  10. Skop isu yang boleh dibincangkan dalam MBJ adalah berkaitan perkara-perkara berikut:-

    1. Hal kebajikan
    2. Hal kewangan
    3. Hal pentadbiran
    4. Skim perkhidmatan dan perjawatan
    5. Elaun dan kemudahan
    6. Hal perkhidmatan
    7. Hal-hal selain dari perkara-perkara yang menyentuh peraturan dan dasar kerajaan dan hal yang berkaitan orang perseorangan dan masalah peribadi


  11. Bagaimana pula sekiranya perkara yang dibangkitkan itu menyentuh peraturan dan dasar kerajaan, dimanakah perlu saya salurkan perkara ini?
  12. Persoalan mengenai dasar dan peraturan kerajaan hendaklah dirujuk kepada agensi pusat dengan menyalurkannya kepada Pihak Kesatuan Sekerja atau Pihak Pekerja dalam Majlis Bersama Kebangsaan (MBK) mengikut perkhidmatan masing-masing. Namun begitu, penjelasan atau penerangan lanjut mengenai perlaksanaan perkara dasar bolehlah dibawa kepada pihak MBJ.

  13. Bagaimana pula dengan masalah yang melibatkan individu dalam organisasi, apakah MBJ boleh membantu dalam hal ini?
  14. Hal-hal perseorangan atau masalah peribadi seseorang anggota perkhidmatan awam seharusnya boleh diselesaikan secara pentadbiran sahaja. Skop yang diliputi oleh MBJ adalah lebih tertumpu kepada menjaga kepentingan bersama kumpulan pegawai atau kakitangan secara keseluruhan. Namun begitu, pihak MBJ boleh dirujuk dalam mengenalpasti bahagian atau jabatan berkaitan yang boleh memberi bantuan dalam menyelesaikan permasalahan yang timbul.

  15. Boleh bagi contoh apa yang dimaksudkan dengan skop isu yang boleh dibincang dalam MBJ?
  16. Hal kebajikan
    Perihal mengadakan pusat penjagaan anak-anak kakitangan, kemudahan pantry atau kantin dan lain-lain

    Hal kewangan
    Hal-hal mengenai pembayaran tuntutan elaun dan kemudahan perubatan atau peralatan serta isu pelarasan gaji dan lain-lain

    Hal pentadbiran
    Kemudahan/keselesaan ruang pejabat, keselamatan tempat kerja, kebersihan, penggiliran dalam melakukan kerja, peluang untuk latihan dan kursus, isu pakaian di tempat kerja, khidmat kaunseling dan lain-lain.

    Skim perkhidmatan dan perjawatan
    Hal berkaitan pengisian jawatan yang kosong, pemangkuan jawatan, pertambahan jawatan baru dan skim perkhidmatan yang berssesuaian dengan beban tugas dan lain-lain

    Elaun dan kemudahan
    Perihal elaun lebih masa, bayaran insentif, imbuhan tetap khidmat awam., peperiksaan kesihatan untuk pegawai 40 tahun ke atas dan laian-lain

    Hal perkhidmatan
    Hal berkaitan Peperiksaan Tahap Kecekapan (PTK), Anugerah Khidmat Cemerlang, Disiplin dan Tatatertib Laporan Penilaian Prestasi dan lain-lain

  17. Dalam jangka masa panjang, apakah faedah MBJ untuk jabatan dan bahagian?
  18. Secara umumnya, manfaat bersama yang boleh diperolehi oleh Pihak Pegawai dan Pihak Pekerja adalah berikut :-

    Hubungan dan Sikap Yang Positif hasil dari suasana kerja yang harmonis di atas interprestasi yang jelas mengenai satu-satu tugas yang akan dijalankan.

    Kepuasan Pekerja apabila peluang yang diberi kepada pekerja menyuarakan pendapat serta bakat yang ditunjukkan oleh pihak pekerja diterima baik oleh Pihak Pegawai.

    Peningkatan Produktiviti hasil dari fasiliti yang mencukupi dan bertepatan dengan fungsi kerja untuk kegunaan pekerja.

    Penjimatan Kos apabila kos penyelenggaraan pejabat dikurangkan dengan budaya kerjasama dan perbincangan di pejabat

    Kemajuan Kerjaya Pekerja hasil dari peningkatan diri pekerja dari segi percakapan dan keyakinan apabila menjalinkan hubungan komunikasi berkesan dengan Pihak Pegawai.

    Sikap Hormat Menghormati hasil dari semangat silaturahim antara pengurusan dan pekerja

    Penyelesaian Masalah-masalah yang dicapai melalui perbincangan dan mencari idea bagi penyelesaian masalah.

    Kesetiaan para pekerja kepada organisasi apabila melihat Pihak Pegawai menunjukkan komitmen yang tinggi dan menghargai sumbangan para pekerja

    Perpaduan dan cohesiveness organisasi apabila Pihak Pekerja berusaha melakukan sesuatu atas kepentingan ramai.

    Mengurangkan Pengaduan hasil dari saluran yang disediakan untuk menerima maklum balas dan pengaduan dari pihak pihak awam.

    Mengurangkan Kes ‘Surat Layang’ kerana terdapatnya mekanisma keterbukaan Pihak Pegawai dalam menerima isu dari Pihak Pekerja.