LAMAN UTAMA
    WAKIL MBJ
    FAQ
    PERLEMBAGAAN
    TAKWIM
 
PERLEMBAGAAN MAJLIS BERSAMA JABATAN BAGI KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA

KEAHLIAN

1. Majlis Bersama Jabatan (MBJ) bagi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) (selepas ini disebut 'Majlis') hendaklah mengandungi 28 ahli termasuk Pengerusi, Naib Pengerusi, dan Setiausaha-setiausaha serta ahli-ahli yang terdiri daripada 10 ahli yang dilantik oleh Ketua Setiausaha Kementerian (selepas ini disebut sebagai 'Pihak Pegawai') dan 14 ahli yang dipilih oleh pekerja-pekerja yang berkhidmat di Kementerian Pengajian Tinggi (selepas ini disebut sebagai 'Pihak Pekerja').

PIHAK PEGAWAI

2. Ahli-ahli bagi "Pihak Pegawai' hendaklah terdiri daripada pegawai-pegawai Kementerian Pengajian Tinggi seperti berikut:-

  1. Ketua Setiausaha Kementerian - Pengerusi
  2. Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian (Pengurusan) - Ahli
  3. Timbalan Ketua Pengarah, Sektor Pengurusan IPTA - Ahli
  4. Timbalan Ketua Pengarah, Sektor Pengurusan IPTS - Ahli
  5. Pengarah, Bahagian Pengurusan Politeknik - Ahli
  6. Pengarah, Bahagian Pengurusan Kolej Komuniti - Ahli
  7. Setiausaha, Bahagian Pembangunan - Ahli
  8. Setiausaha, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia - Ahli
  9. Setiausaha, Bahagian Khidmat Pengurusan dan Korporat - Ahli
  10. Setiausaha, Bahagian Pembangunan Manusia dan Latihan - Ahli
  11. Setiausaha, Bahagian Kewangan - Ahli
  12. Ketua Penolong Setiausaha, Pentadbiran dan Logistik, Bahagian Khidmat Pengurusan dan Korporat - Ahli

Pegawai-pegawai ini hendaklah dilantik atas nama jawatan masing-masing

PIHAK PEKERJA

3. Ahli-ahli bagi Pihak Pekerja hendaklah terdiri daripada pekerja-pekerja di dalam KPT dan dilantik oleh pekerja-pekerja yang berkhidmat di KPT. Pemilihan ahli-ahli Pihak Pekerja hendaklah mengikut peraturan-peraturan dibawah:-

  1. Pemilihan Pengerusi, Setiausaha dan Ahli-ahli Pihak Pekerja hendaklah dibuat di dalam mesyuarat yang dikendalikan sendiri oleh pekerja. Pemilihan ini hendaklah dibuat oleh pekerja-pekerja sendiri
  2. Komposisi keahlian Pihak Pekerja perlulah seboleh mungkin terdiri daripada wakil-wakil Jabatan atau bahagian di bawah KPT yang terdiri daripada wakil-wakil Jabatan atau bahagian di bawah KPT yang terdiri daripada wakil-wakil daripada Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Sokongan I serta Kumpulan Sokongan II.
4. Kekosongan yang berlaku di dalam keanggotaan Pihak Pekerja hendaklah dipenuhi oleh calon-calon daripada pekerja-pekerja yang melantik wakil yang mengosongkan jawatan itu.

5. Ahli-ahli bagi Pihak Pekerja hendaklah memegang jawatan selama tempoh dua (2) tahun mulai daripada tarikh pelantikan mereka dan mereka boleh terus memegang jawatan tersebut sehingga ahli-ahli yang mengambil alih telah dilantik/dipilih.

PEGAWAI-PEGAWAI MAJLIS

6. Pegawai-pegawai Majlis adalah terdiri daripada Pengerusi, Naib Pengerusi dab Setiausaha Bersama. Naib Pengerusi hendaklah terdiri daripada ahli yang dipilih dan menjadi Pengerusi ahli Pihak Pekerja. Setiausaha Pihak Pegawai dan Setiausaha Pihak Pekerja menjadi Setiausaha Bersama bagi Majlis ini.

STRUKTUR ORGANISASI MAJLIS

7. Struktur organisasi Majlis adalah seperti di Lampiran A.

TUJUAN

8. Tujuan Majlis adalah seperti berikut:-

  1. Untuk memperoleh seluas-luasnya kerjasama antara KPT dengan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji di dalam KPT, dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan kelicinan kerja dan kebajikan pekerja-pekerja yang berkenaan;
  2. Untuk mengadakan jentera bagi menguruskan soal-soala mengenai syarat-syarat bekerja; dan
  3. Untuk mengumpul buah fikiran, pendapat dan pandangan daripada pekerja-pekerja dengan wakil-wakil rasmi KPT.