Majlis Prapelancaran Kempen Dekad Membaca Kebangsaan 2020-2030 #Malaysia Membaca

PUTRAJAYA, 13 Disember – YB Dr. Maszlee Malik, Menteri Pendidikan merasmikan Prapelancaran Kempen Dekad Membaca Kebangsaan di sini, hari ini.

Berslogankan #MALAYSIAMEMBACA, kempen ini akan diperluaskan ke semua peringkat khalayak sasaran termasuk bayi seawal usia, prasekolah, sekolah rendah, menengah, universiti dan masyarakat umum.

Kempen Dekad Membaca Kebangsaan merupakan usaha jitu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memartabatkan dan mendaulatkan Bahasa Kebangsaan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, kempen ini diyakini mampu untuk memperkukuhkan budaya membaca dan meningkatkan peratusan rakyat Malaysia membaca untuk merealisasikan hasrat dan budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.

Rancangan memperkasakan pelaksanaan Kempen Membaca Kebangsaan dimulai pada tahun 2018 hingga 2020 dan diteruskan dengan Dekad Membaca Kebangsaan 2020-2030 yang merupakan strategi jangka panjang dalam Pelan Strategik Dekad Membaca Kebangsaan 2020-2030.

"Kementerian Pendidikan berhasrat untuk menjadikan rentang masa 10 tahun iaitu daripada tahun 2021 hingga tahun 2030 sebagai Dekad Membaca Kebangsaan.

"Kita mahu menjadikan Malaysia sebagai Negara Membaca 2030. Untuk memastikan kempen ini mencapai keberhasilan yang dihasratkan, tempoh tiga tahun sebelum bermulanya Dekad Membaca Kebangsaan iaitu mulai tahun 2018 hingga 2020 pula ialah tempoh menggiatkan Kempen Dekad Membaca Kebangsaan," kata YB Dr. Maszlee.

Tambah beliau, slogan dan tagar #MALAYSIAMEMBACA dipilih akan dipopularkan supaya menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk membaca selaras dengan hasrat KPM yang ingin menjadikan Malaysia sebuah negara membaca.

Majlis prapelancaran hari ini turut menyaksikan sebanyak 20 penerbit yang bernaung di bawah Persatuan Penerbit-penerbit Buku Malaysia (MABOPA) menyerahkan sumbangan buku kepada 19 buah sekolah yang terpilih.

Mereka adalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, PTS Media Group Sdn. Bhd., Grup Buku Karangkraf, Bestari Karangkraf, Sasbadi Sdn. Bhd., Penerbitan Pelangi, Galeri Ilmu Sdn. Bhd., Oxford Fajar Sdn. Bhd., DuBook Press & Publication, Kadokawa Gempak Starz Sdn. Bhd., Pustaka Yamien Sdn. Bhd., Aras Mega Sdn. Bhd., Yamani Angle Sdn. Bhd., Casamas Resources Sdn. Bhd., Rimbunan ilmu Sdn. Bhd., UMA Publications, Tunas Pelangi Sdn. Bhd. dan Kualiti Books Sdn. Bhd. serta Balai Seni Visual Negara (BSVN).

Sempena prapelancaran, Wacana Malaysia Negara Membaca turut diadakan. Ia menampilkan dua orang ahli panel iaitu YB Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, Ahli Parlimen Lembah Pantai dan YBhg. Profesor Dr. Mohamed Hatta Shaharom, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP. Wacana ini dikemudi oleh Tuan Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar.

Kemudian, majlis disusuli pula dengan pengumuman pertandingan mencipta logo Dekad Membaca Kebangsaan 2020-2030 yang terbuka kepada semua warga Malaysia. Pemenang bakal menerima hadiah utama berupa wang tunai dan sijil penyertaan.

Turut hadir YBhg. Dato' Dr. Mohd Gazali Abas, Ketua Setiausaha KPM dan barisan Pengurusan Tertinggi KPM dan DBP serta warga KPM.

Pada akhir majlis, YB Menteri Pendidikan melawat sudut membaca KPM, Lanai Baca serta meluangkan waktu membaca buku bersama-sama anak-anak di sudut tersebut.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
13 DISEMBER 2018

Cetak Emel