Jemaah Menteri Membuat Keputusan Arah PTPTN Tangguh Pelaksanaan Skim Potongan Gaji Berjadual (PGB)

Jemaah Menteri pada mesyuarat hari ini, 7 Disember 2018 telah mengambil maklum keprihatinan, syor dan pandangan yang dikemukakan oleh orang ramai, khususnya mereka yang memperoleh kemudahan pinjaman pengajian daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berhubung pelaksanaan Potongan Gaji Berjadual (PGB) mulai Januari 2019.

Jemaah Menteri berpandangan segala input yang dikemukakan oleh orang ramai ada asasnya, dan Kerajaan Pakatan Harapan yang prihatin dengan suara rakyat, mahu PTPTN menangguhkan pelaksanaan PGB dan mencari satu formula yang terbaik bagi setiap pihak berkepentingan.

Sehubungan itu, Jemaah Menteri telah memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan PGB bagi membolehkan PTPTN mengadakan perbincangan dengan kesemua pemegang taruh yang berkaitan.

PTPTN perlu menghargai perjanjian ujrah yang ditandatangani dengan para peminjam sebelum ini dan tidak harus mengenakan skim baharu ini ke atas kesemua peminjam sekali gus. terutama bagi mereka yang telah pun menyatakan komitmen untuk membuat bayaran setiap bulan tanpa melibatkan potongan gaji.

YB DR MASZLEE MALIK
MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA
7 DISEMBER 2018

Cetak Emel