Kemasukan Pelajar Dari Bandar Wuhan Dan Wilayah Hubei, China Ditangguhkan

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 Januari 2020 mengenai sekatan pelawat dari Bandar Wuhan dan Wilayah Hubei serta kawasan di sekitarnya.

Berikutan dari itu, KPM mengambil keputusan untuk menangguhkan pendaftaran pelajar dari kawasan tersebut di semua institusi pendidikan di Malaysia ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak. Pelajar-pelajar dari wilayah lain di negara China dibenarkan mendaftar untuk belajar di Malaysia dengan pemantauan rapi daripada institusi pendidikan yang terlibat.

KPM turut ingin menasihati semua institusi pendidikan di Malaysia untuk mengambil langkah-langkah pencegahan berikut:

  1. Bagi warga pendidik dan pelajar warganegara dan bukan warganegara yang akan keluar dari negara China, sekiranya exit screening menunjukkan gejala penyakit 2019- nCoV, dinasihatkan agar perjalanan mereka ke Malaysia ditangguhkan.
  2. Semua warga pendidik dan pelajar warganegara dan bukan warganegara yang tiba dari negara China perlu melalui saringan kesihatan di pintu masuk antarabangsa negara. Mereka akan dinasihatkan untuk menjalani pengawasan dalam rumah (home survelliance) selama 14 hari dan seterusnya mematuhi arahan selanjutnya yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ini adalah merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh KKM pada 28 dan 30 Januari 2020.
  3. Memantau status kesihatan semua warga pendidik dan pentadbir serta pelajar yang membuat lawatan dari negara China melalui institusi pendidikan masing-masing.

KPM akan sentiasa bekerjasama dengan KKM dan semua agensi terlibat dalam memastikan kesihatan warga pendidik, pentadbir dan pelajar di semua institusi pendidikan diberi perhatian dalam menangani jangkitan penyakit ini.

Semua insititusi pendidikan di Malaysia juga disarankan untuk mengambil langkah-langkah proaktif yang tidak bercanggah dengan ketetapan oleh pihak Kerajaan. Semua institusi juga dinasihatkan agar sentiasa peka dengan arahan terkini daripada pihak berkuasa berkenaan dengan kes jangkitan virus tersebut.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
31 Januari 2020

Cetak Emel