Tiada Agensi Dilantik Untuk Urusan Pengambilan IPTA

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak pernah melantik mana-mana pihak ketiga bagi mewakili KPM dalam urusan pengambilan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar harian. Menurut laporan akhbar tersebut, sebuah syarikat telah dilantik oleh KPM dan memberi 'jaminan' kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyambung pengajian di mana-mana IPTA negara ini tanpa melalui Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (UPU) Kementerian Pendidikan (KPM).

Di KPM, Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA@UPU) merupakan satu-satunya bahagian yang menyelaras permohonan kemasukan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). KPM mengamalkan Prinsip Meritokrasi dengan mengguna pakai 90% Markah Akademik dan 10% Markah Kokurikulum dalam proses pemilihan pelajar ke IPTA. Untuk makluman, tiada jalan pintas bagi mendapatkan tempat melalui Permohonan UPUOnline. Berdasarkan meritokrasi, semua calon yang layak dengan markah merit tertinggi tanpa mengira kaum, agama, negeri, taraf hidup dan tempat tinggal tidak dinafikan peluang untuk mengikuti pengajian di IPTA. Oleh yang demikian, kejayaan calon untuk memperoleh tempat bergantung kepada susunan merit dan pemilihan program pengajian di IPTA yang telah dipohon serta bilangan tempat yangdisediakan.

Di bawah permohonan UPUOnline terdapat 4 kumpulan laluan khas ke IPTA iaitu Kumpulan B40, Atlet, Orang Asli dan OKU. Walau bagaimanapun, kumpulan ini masih perlu melalui saringan pemilihan berdasarkan prinsip meritokrasi dengan hanya memenuhi syarat minimum kursus atau program yang ditawarkan.

Sehubungan dengan itu, KPM menyeru orang awam supaya berhati-hati dengan tawaran-tawaran yang meragukan dan melaporkan kepada pihak berkuasa atas kemungkinan penipuan oleh mereka yang tidakbertanggungjawab.

Sila hubungi alamat dan talian berikut untuk sebarang pertanyaan:

BAHAGIAN KEMASUKAN PELAJAR IPTA
JABATAN PENDIDIKAN TINGGI
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA

ARAS 4, NO.2, MENARA 2, JALAN P5/6, PRESINT 5
PUSAT PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN
62200 PUTRAJAYA

No. Tel : 03-8870 8200
E-mel : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Laman Sosial :
Facebook : KEMASUKAN BPKP JPT
Twitter : @TWT_UPU
Instagram : @KEMASUKANBPKP

KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
07 JANUARI 2020

Cetak Emel