Pengendalian Program Akademik Di Universiti Awam (UA) Dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS)

Berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilanjutkan sehingga 14 April 2020, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyarankan agar semua Universiti Awam (UA) menyambung Semester Kedua, Sesi 2019/2020 seawal 27 April 2020 dan selewat-lewatnya pada 1 Jun 2020.

Dengan pelanjutan ini, Semester Pertama, Sesi 2020/21 dijangka bermula pada pertengahan Oktober 2020.

Keputusan ini diambil setelah perbincangan secara terperinci diadakan bersama wakil daripada semua UA dan IPTS serta mengambil kira beberapa faktor seperti berikut:

  1. PKP semasa dan arahan berkaitan pengurusan COVID-19;
  2. Keberadaan pelajar tempatan dan antarabangsa di lokasi masing-masing di mana majoriti pelajar telah berada di kampung/ bersama keluarga;
  3. Keselamatan dan kebajikan pelajar;
  4. Kesediaan UA dan IPTS dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran menggunakan pelbagai kaedah termasuk dalam talian dan lain-lain;
  5. Cuti sambutan Hari Raya Aidil Fitri yang dijangkakan pada 24 Mei 2020; dan
  6. Keperluan penamatan Semester Kedua Sesi 2019/2020 dan permulaan Semester Pertama Sesi 2020/2021.

Sehubungan dengan itu, UA perlu mengurus pergerakan semula pelajar ke kampus (disarankan secara berfasa dan berhemah) dengan mengambil kira faktor-faktor seperti di atas.

Bagi IPTS, mereka boleh menyambung semester sedia ada dan memulakan semester baharu mengikut kalendar akademik masing-masing dengan mengambil kira faktor-faktor di atas.

UA dan IPTS juga perlu memaklumkan jadual akademik yang telah dikemas kini kepada semua pelajar tempatan dan antarabangsa.

Walau bagaimanapun, cadangan yang dikemukakan ini adalah berdasarkan kepada keputusan terkini Kerajaan mengenai PKP. KPT akan segera memaklumkan kepada semua IPTA & IPTS sebarang pindaan atau pengemaskinian kepada cadangan ini sekiranya ada perubahan kepada status PKP yang diputuskan oleh Kerajaan di masa akan datang.

KPT amat prihatin dengan kebajikan pelajar-pelajar UA & IPTS dan sentiasa menerima laporan akan keberadaan mereka terutama yang masih berada di kampus agar bantuan yang sewajarnya dapat disalurkan kepada mereka

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI
28 Mac 2020

Cetak Emel