Anugerah Akademik Negara Kali Ke-12: Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram Dinobat Tokoh Akademik Negara

PUTRAJAYA, 28 November – YAB Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyempurnakan majlis penyampaian Anugerah Akademik Negara (AAN) ke-12 di sini, malam tadi dengan mantan anggota Majlis Penasihat Negara, Profesor Dr. Jomo Kwame Sundaram dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara.

Sebanyak tujuh kategori berprestij yang menyediakan 15 anugerah telah dipertandingkan. Bagaimanapun pada tahun ini hanya tujuh pemenang memenuhi kriteria pemilihan yang ditetapkan. Tiga daripadanya diterima oleh ahli akademik dari Universiti Malaya.

Para pemenang tahun ini terdiri daripada:

Prof Dr Jomo Kwame Sundram [Universiti Malaya] – Anugerah Tokoh Akademik Negara
Prof Madya Dr Mohd Roslan Mohd Nor [Universiti Malaya] – Anugerah Penerbitan Buku
Encik Mohd Faizul Noorizan [Universiti Teknologi Mara (UiTM)] – Anugerah Seni dan Kreativiti (Kelompok Kraf)
Prof Madya Dr Mawar Safei [Universiti Kebangsaan Malaysia] – Anugerah Seni dan Kreativiti (Kelompok Penulisan Kreatif)
Prof Madya Dr Wan Zuhainis Saad [Universiti Putra Malaysia] – Anugerah Pengajaran (Kelompok Sains Tulen)
Prof Madya Dr Fauziah Abdul Rahim [Universiti Utara Malaysia] – Anugerah Pengajaran (Kelompok Sastera Gunaan dan Sains Sosial Gunaan)
Prof Madya Dr Juan Joon Ching [Universiti Malaya] – Anugerah Ahli Akademik Harapan

Penerima Anugerah Tokoh Akademik Negara menerima hadiah wang tunai RM200,000 beserta trofi dan sijil manakala penerima-penerima kategori yang lain menerima wang tunai RM50,000.00 beserta trofi dan sijil.

AAN merupakan acara tahunan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Program ini merupakan satu pengiktirafan tertinggi yang diberikan kepada ahli-ahli akademik sebagai menghargai kecemerlangan dan sumbangan mereka dalam melonjakkan nama Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. AAN juga adalah salah satu inisiatif Kerajaan dalam usaha merangsang pembangunan kesarjanaan dan keintelektualan negara.

Tujuh kategori yang dipertandingkan terdiri daripada Anugerah Tokoh Akademik Negara, Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal, Anugerah Penerbitan Buku, Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk, Anugerah Seni dan Kreativiti, Anugerah Pengajaran dan Anugerah Akademik Harapan.

Penerima anugerah dipilih berdasarkan pencalonan yang diterima daripada IPT dengan diperakui oleh Naib Canselor atau yang setara dengannya. Satu jawatankuasa telah dibentuk terdiri daripada ahli-ahli akademik dan industri dengan pelbagai bidang kepakaran untuk menilai tahap pencapaian setiap penyertaan berdasarkan kriteria yang ditetapkan. Proses pemilihan ini dilakukan dengan berhati-hati bagi memastikan hanya penyertaan yang layak akan menerima pengiktirafan.

Dalam ucapannya, YAB Tun Dr. Mahathir merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua ahli akademik yang telah memainkan peranan yang penting dalam proses pembangunan negara.

"Tanpa sokongan mereka, saya percaya kita tidak mungkin dapat membangunkan generasi berilmu yang cemerlang, sekali gus menjadi insan yang seimbang untuk pembangunan dan kemajuan negara.

"Kita sememangnya sentiasa mengenang sumbangan dan bakti ahli-ahli akademik kerana mereka ibarat cahaya yang menyuluh kegelapan, memandu kehidupan dengan ilmu dan kebenaran," kata beliau.

Sementara itu, YB Dr. Maszlee berkata AAN adalah manifestasi kepada komitmen Kementerian untuk menzahirkan Lonjakan 2 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 - Kecemerlangan Bakat, merujuk kepada penghasilan komuniti akademik yang komited, berusaha secara berterusan untuk meningkatkan kualiti, menyokong pembangunan profesional, memberi inspirasi kepada pelajar, berciri keusahawanan, mempelopori pengajaran dan pembelajaran progresif serta cemerlang dalam penyelidikan, inovasi dan pengkomersilan.

“Penerima-penerima anugerah malam ini akan diangkat sebagai ikon kepada ahli akademik yang lain, selain menjadi 'role model' kepada ahli-ahli akademik baharu."

Kata beliau, ahli-ahli akademik yang cemerlang akan membantu Negara untuk menghasilkan graduan yang cemerlang dan seterusnya berjaya melahirkan universiti bertaraf dunia.

Turut hadir pada majlis penyampaian, Naib-naib Canselor universiti tempatan. Ketua Setiausaha KPM, YBhg Dato’ Mohd Gazali Abas dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi KPM, Datin Paduka Ir. Dr Siti Hamisah Tapsir juga hadir sama.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
28 November 2018

Cetak Emel