• Utama
  • Media
  • Kenyataan Media
  • Pemantapan Pendidikan Negara Melalui Program Pertukaran Guru Asia-Pacific Teacher Exchange For Global Education (APTE)

Pemantapan Pendidikan Negara Melalui Program Pertukaran Guru Asia-Pacific Teacher Exchange For Global Education (APTE)

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sekali lagi diberi peluang untuk menyertai program pertukaran guru iaitu Program Asia-Pacific Teacher Exchange for Global Education (APTE), anjuran Kementerian Pendidikan Republik Korea, yang dilaksanakan oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) Asia-Pacific Centre of Education for International Understanding (APCEIU) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan negara-negara anggota.

APTE merupakan program pertukaran guru secara dua hala antara Republik Korea dengan negara-negara Asia Pasifik yang telah diperluaskan kepada tujuh buah negara di rantau Asia Pasifik iaitu Filipina, Indonesia, Kemboja, Malaysia, Mongolia, Thailand dan Vietnam.

Sempena program APTE kali ini Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, YB Puan Teo Nie Ching telah diberi penghormatan menyampaikan ucaptama dalam persidangan Sharing Stories of Asia-Pacific Education Movements (SSAEM) 2018 yang telah berlangsung pada 29 November 2018 di Sheraton D Cube City Hotel, Seoul, Korea Selatan.

Dalam ucapannya, YB Puan Teo Nie Ching selaku wakil KPM mengucapkan terima kasih kerana KPM sekali lagi diberi peluang untuk menyertai program ini. Beliau menegaskan kepada para guru yang terlibat supaya memberi penekanan terhadap kepentingan Pembangunan Profesionalisme Berterusan (PPB) dalam sistem pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi mengetengahkan pembangunan kompetensi melalui pendekatan lebih berkesan dan tidak terhad kepada kursus sahaja.

“Melalui persidangan ini, peserta-peserta dapat meningkatkan persefahaman antara budaya dan mewujudkan kerjasama yang baik dengan negara-negara anggota lain yang turut terlibat.

“Saya percaya perkongsian pengalaman ini dapat membantu guru-guru kita untuk mengukuhkan dan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah kelak,” kata beliau.

Tambah beliau, persidangan ini menjadi platform untuk guru-guru dan pelajar-pelajar mewujudkan jaringan kerjasama, khususnya dari negara Asia Pasifik.

Guru-guru KPM juga dapat mempelajari dan mengaplikasi hasil perkongsian amalan terbaik melalui sistem pendidikan di Korea dalam pengajaran mereka, kata beliau.

Dalam program pertukaran ini, guru-guru KPM dan negara anggota ditempatkan di sekolah tuan rumah serta diberi peluang untuk mengajar dan terlibat dalam aktiviti pendidikan sepanjang tempoh tiga bulan penempatan. Guru-guru ini mengajar mata pelajaran mengikut bidang kepakaran masing-masing di samping berkongsi dan mempelajari adat serta budaya masyarakat setempat melalui penglibatan aktif dalam bilik darjah, program anjuran sekolah dan juga program komuniti.

Sehingga tahun 2018, seramai 48 orang guru Malaysia terlibat dalam program ini manakala guru-guru Korea adalah seramai 43 orang.

YB Puan Teo Nie Ching turut mengadakan lawatan ke Seoul Technical High School, Korea dan melihat sendiri mutu sekolah yang merupakan peneraju bagi Sekolah Menengah Vokasional di negara itu kerana pengiktirafan Standard Kompetensi Negara (NCS) yang diperolehi bagi program-program kepakaran yang ditawarkan iaitu Machinery, Materials and Molding, Piping and Welding, Automobile, Mechatronics, Electricity and Electronics, Energy and Environment, Civil and Architecture, Chemical and Ceramic, Textile and Design dan Graphic and Arts.

Beliau turut tertarik dengan latihan bagi pelajar–pelajar yang mengikut sistem TVET di Korea dengan menggabungan latihan kerja dan pembelajaran bilik darjah iaitu tiga hari di sekolah dan dua hari di syarikat. Ia menyediakan pelajar dengan latihan individu dan syarikat-syarikat di Korea dengan tenaga pekerja yang berterusan.

KPM berminat untuk mengkaji lebih lanjut tentang peluang-peluang pendidikan yang ditawarkan oleh sekolah digital ini dan berharap supaya kerjasama antara institusi ini dapat direalisasikan dengan institusi pendidikan yang setara di Malaysia.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
12 DISEMBER 2018

Cetak Emel