header 03 ms 2016

Bantuan Kewangan OKU

OBJEKTIF
  • Memberi insentif / biasiswa dan peluang kepada OKU yang berkebolehan / berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.
  • Meningkat dan memperluaskan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk OKU dari segi bantuan kewangan.
GOLONGAN SASARAN Pelajar OKU yang berdaftar dengan JKM dan mempunyai kad OKU
PERINGKAT PENGAJIAN
  • PhD
  • Sarjana
  • Ijazah Pertama
  • Diploma Lepasan Ijazah
  • Diploma
  • Sijil (di politeknik dan kolej komuniti sahaja)
TEMPAT PENGAJIAN
  • 20 UA
  • IPTS yang diiktiraf oleh Kerajaan
  • Politeknik
  • Kolej Komuniti
SYARAT SYARAT DAN GARIS PANDUAN UMUM
  1. Bantuan ini merupakan keistimewaan yang diberikan kepada pelajar OKU. Oleh itu, ianya harus dibezakan dengan kemudahan-kemudahan lain yang turut diterima oleh pelajar bukan OKU. Ini bermakna sekiranya seseorang pelajar OKU itu menerima biasiswa atau kemudahan lain yang juga turut dinikmati oleh pelajar bukan OKU, maka pelajar OKU tersebut adalah layak menerima elaun ini.
  2. Jika sesuatu kemudahan atau biasiswa itu diterima atas dasar keistimewaannnya, maka seseorang OKU tersebut tidak seharusnya mendapat faedah berganda. Misalnya jika seseorang pelajar OKU itu telah menerima biasiswa khas untuk melanjutkan pelajaran di IPT kerana keistimewaannnya, elaun khas ini tidak dipanjangkan kepada beliau.
  3. Elaun khas ini tidak mengambil kira taraf pendapatan sebagai syarat kelayakan.
  4. Pelajar OKU hendaklah bukan dalam tempoh cuti belajar bergaji (penuh/sebahagian)
  5. Kursus yang diikuti hendaklah kursus sepenuh masa atau separuh masa yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) atau Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
SKOP PEMBIAYAAN ELAUN KHAS
  1. Skop pembiayaan OKU adalah tertumpu kepada institusi yang terletak dibawah pengurusan dan kawalan Kementerian Pendidikan Malaysia  iaitu semua IPTA, IPTS, Politeknik dan Kolej Komuniti sahaja;
  2. Skop peringkat pengajian pula adalah tertakluk kepada tafsiran pengajian tinggi (tertiary) iaitu peringkat diploma dan ke atas sahaja. Walau bagaimanapun, kursus peringkat sijil jangka panjang di politeknik dan kolej komuniti yang di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan Malaysia  boleh dipertimbangkan untuk elaun khas OKU ini;
  3. Pelajar OKU yang menuntut di institusi-institusi latihan bukan bertaraf IPT yang dikawal oleh kementerian-kementerian lain dan institusi-institusi pengajian tinggi luar negara adalah di luar skop pembiayaan.
  4. Pelajar sepenuh masa bantuan meliputi wang saku dan yuran pengajian. Penerima biasiswa pula hanya layak wang saku sahaja.
  5. Pelajar separuh masa atau pengajian jarak jauh hanya layak menerima yuran pengajian sahaja. Penerima pinjaman pelajaran atau biasiswa termasuk yuran pengajian tidak layak mendapat bantuan ini.
PERMOHONAN / PERTANYAAN

Mulai tahun 2013 permohonan dan tuntutan bayaran OKU perlu dibuat secara atas talian dengan mengisi borang permohonan di URL https://biasiswa.mohe.gov.my

Permohonan perlu mendaftar sebagai pengguna sistem terlebih dahulu sebelum membuat tuntutan.

Permohonan hendaklah dikemukakan kepada bahagian biasiswa KPM tidak lewat dari 30 hari pertama pada setiap semester bermula.

DOKUMEN BANTUAN ELAUN WANG SAKU DAN YURAN PENGAJIAN PELAJAR OKU
(scan terlebih dahulu dan di muat naik di https://biasiswa.mohe.gov.my)

1. Salinan Kad Pengenalan Pelajar;
2. Salinan Kad Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM);
3. Salinan Kad Pendaftaran / Pelajar;
4. Salinan surat tawaran pengajian;
5. Salinan keputusan peperiksaan terkini (bagi pelajar sedia ada);
6. Salinan buku akaun CIMB / BIMB sahaja;
7. Invois asal yuran pengajian semester semasa yang dikeluarkan oleh institusi pengajian (jika tuntutan yuran belum dijelaskan oleh pelajar) / 
8. resit asal pembayaran yuran pengajian oleh pelajar (jika tuntutan yuran telah dijelaskan oleh pelajar).

Bayaran bantuan wang saku akan dimasukkan terus ke akaun pelajar. Manakala bayaran bantuan yuran pengajian akan dimasukkan terus ke akaun institusi pengajian / akaun pelajar.

Proses ini bermula mulai 1 April 2010. Pelajar yang sedang menjalani semester sebelum tarikh ini tidak layak menuntut elemen yuran pengajian. Walau bagaimanapun, semua tuntutan adalah tertakluk kepada had peruntukan tahunan yang diluluskan oleh Kerajaan.

Permohonan dengan dokumen yang tidak lengkap dan tidak memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan tidak akan diproses. Untuk keterangan lanjut, sila hubungi:

Unit Biasiswa
Bahagian Biasiswa
Kementerian Pendidikan Tinggi,
Aras 2, No. 2, Menara 2, Jalan P5/6, Presint 5
62200 Putrajaya

Talian Utama : 03-88881616
Faks : 03-88706838

CetakEmel