
Seiring dengan matlamat mewujudkan persekitaran Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH), kolej komuniti berperanan besar dalam pembangunan modal insan masyarakat setempat dengan menyalurkan pengetahuan dan kemahiran serta menyemai nilai dan etika positif melalui pendidikan dan latihan.
Kolej Komuniti diperkukuhkan lagi peranan sebagai institusi latihan kemahiran dan hab pembelajaran sepanjang hayat kepada komuniti setempat yang berlandaskan objektif berikut:
- Meningkatkan dan memperluaskan akses latihan kemahiran dan laluan pengajian tinggi kepada lepasan menengah dan golongan yang memerlukannya.
- Menyediakan pelbagai program latihan kemahiran yang progresif bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.
- Mewujud dan memupuk budaya keusahawanan bagi menyokong pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat.
- Membudayakan pembelajaran sepanjang hayat bagi memperkayakan ilmu untuk meningkatkan kesejahteraan hidup.
- Meningkat dan memperluaskan kolaborasi dengan institusi pengajian tinggi, industri dan pelbagai agensi bagi pembangunan kualiti hidup masyarakat setempat.
Sehingga Januari 2011, 72 buah kolej komuniti (termasuk kolej cawangan) telah beroperasi di seluruh negara. Kolej komuniti menawarkan pelbagai kursus jangka pendek untuk semua golongan masyarakat.




