default
red
black
 
 
Anda di:Institusi Politeknik
 
 

 

Hala tuju Politeknik mempunyai matlamat untuk membina upaya baharu politeknik bagi membangunkan sumber manusia negara dalam memenuhi keperluan Model Baharu Ekonomi (MBE) yang memberi penekanan kepada upaya inovasi dan kreativiti dan menyediakan politeknik menghadapi pelbagai senario dan cabaran masa hadapan. Seiring dengan PSPTN dan transformasi pendidikan dan latihan negara, transformasi Politeknik dilaksanakan untuk menghasilkan modal insan yang mempunyai mentaliti kelas pertama dan menepati kehendak pasaran.

 

Konsep transformasi politeknik merangkumi perubahan sistemik yang menjurus kepada pewujudan institusi pilihan, penghasilan siswazah yang menepati kehendak pasaran (employable graduates) dan pembinaan persepsi positif dalam kalangan masyarakat terhadap pendidikan politeknik. Aspek yang dicakupi melibatkan pemerkasaan dasar, penambahbaikan reka bentuk proses, penyampaian dan penilaian program, pembangunan kurikulum yang mantap, penjaminan kualiti program, pembangunan tenaga pengajar yang kompeten, pelajar yang berkualiti, sumber dan kemudahan yang lengkap dan usaha inovasi yang berterusan. Pelan Transformasi Politeknik telah dilancarkan oleh YAB. Timbalan Perdana Menteri pada 25 Februari 2010 dan tiga (3) politeknik telah diumumkan sebagai politeknik premier.

 

Politeknik mempunyai peranan khusus untuk menangani perubahan ekosistem pengajian tinggi negara yang bukan sahaja memerlukan modal insan berilmu tinggi tetapi juga mempunyai kemahiran pada peringkat tinggi. Negara perlu meningkatkan peratusan tenaga kerja berkemahiran tinggi daripada 23% kepada 37% menjelang tahun 2015. Justeru, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TEVT) perlu diarusperdanakan sebagai langkah merealisasi sasaran negara termasuk meningkatkan imej TEVT pada pandangan masyarakat.

 

Lihat senarai politeknik.