|
Pengajian Tinggi di Malaysia terus subur semenjak penubuhan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada tahun 2004 dan isu-isu pengajian tinggi juga semakin mendapat perhatian segenap pihak mahupun media, rakyat dan kerajaan. Kementerian telah memperkenalkan pelbagai polisi dan dasar untuk pemantapan pengajian tinggi negara agar wujud ekosistem yang kondusif bagi menerajui kegemilangan ilmu. Ini juga seiring dengan usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengajian tinggi serantau serta muncul sebagai pilihan utama pelajar dan intelektual antarabangsa menjelang 2020. Pelan Tindakan Fasa 2 Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) ini akan terus memperkukuh dan memperkasa sektor pengajian tinggi negara sepanjang Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe - 10) bagi tempoh 2011 - 2015. |