PSPTN - Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara

CAP - Pengantarabangsaan

Pengantarabangsaan merupakan Teras Kelima Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara, bertujuan untuk memartabatkan IPT tempatan ke arah bertaraf dunia. Teras ini menyasarkan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pengajian tinggi antarabangsa menjelang tahun 2020. Salah satu pendekatan adalah penonjolan jenama Education Malaysia yang sebelumnya dikenali sebagai Malaysian Students Department (MSD) dalam semua aktiviti pemasaran di luar negara. Di samping itu, program pengantarabangsaan seperti pertukaran tenaga akademik, pelajar, program pengajian dan kolaborasi antarabangsa juga merupakan pemangkin untuk memperkayakan interaksi, pengalaman dan pendedahan pelajar IPT tempatan di arena global.

Tujuan penubuhan CAP Pengantarabangsaan adalah untuk memastikan aspirasi negara sebagai pusat pengajian tinggi ulung tercapai melalui pelaksanaan aktiviti dan seterusnya pemantauan prestasi pengantarabangsaan IPT tempatan. Khidmat sokongan berkualiti pada peringkat kementerian dan pemantauan pencapaian perlu diberi perhatian sepenuhnya untuk merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia pusat pengajian tinggi antarabangsa.