PSPTN - Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara

CAP - MyBrain 15

PENGENALAN

MyBrain15 adalah salah satu agenda kritikal yang digariskan dalam Pelan Tindakan bagi PSPTN. Objektif MyBrain15 adalah untuk melahirkan bilangan pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan setaraf yang secukupnya sebagai pemacu kepada inovasi yang akan memandu ekonomi negara yang berdaya saing. MyBrain15 berfungsi sebagai landasan bagi pembentukan massa kritikal dan graduan berpengetahuan tinggi yang terkenal pada peringkat antarabangsa melalui penciptaan dan inovasi produk dan perkhidmatan mereka.

Dalam mencapai misi tersebut, Kerajaan menyasarkan seramai 60,000 rakyat Malaysia mempunyai kelayakan PhD dan setaraf menjelang tahun 2023 serta menetapkan sasaran untuk menambah bilangan penyelidik kepada nisbah 100 penyelidik, saintis dan jurutera (RSE) bagi 10,000 tenaga kerja. Statistik terakhir sebelum PSPTN dilaksanakan pada tahun 2008 menunjukkan Malaysia hanya mempunyai 9,153 orang (tidak termasuk yang berkhidmat di sektor swasta) warganegara yang berkelayakan PhD.

Proses menghasilkan siswazah PhD dalam Fasa 2 bergantung kepada kapasiti institusi pengajian tinggi untuk menyediakan penyelia yang mencukupi bagi program pascasiswazah secara penyelidikan yang ditawarkan (dirujuk sebagai Kapasiti Penyeliaan). Manakala analisa data prestasi staf akademik yang di bawah penajaan KPT menunjukkan proses menghasilkan pelajar PhD dan setaraf memerlukan tempoh masa lazim selama empat tahun (dirujuk sebagai GOT iaitu Graduate-on-Time). Sehubungan itu, pencapaian inisiatif pembiayaan Skim Latihan Akademik Bumiputra (SLAB)/ Skim Latihan Akademik Institusi (SLAI) pada Fasa 1 di bawah CAP MyBrain15 yang ditunjukkan melalui Kapasiti Penyeliaan IPT (nisbah bilangan penyelia dan bilangan pelajar) hanya boleh diukur pada pertengahan Fasa 2, iaitu apabila tamat tempoh GOT pengajian PhD bagi pensyarah IPTA yang dibiayai.

Dengan menggunakan statistik tahun 2008 sebagai data asas, kerangka MyBrain15 melibatkan inisiatif dan unjuran jangka panjang yang meliputi tiga fasa PSPTN dan seterusnya tempoh awal Fasa 4 (sehingga tahun 2023).

 

 

 

KEMBALI KE LAMAN UTAMA