Teks Ucapan Sidang Media Menteri Pengajian Tinggi - Kemasukan Semula Pelajar Institusi Pendidikan Tinggi Ke Kampus Secara Berperingkat

English translation not available for this content.

Bismillahirrahmannirrahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 
dan Salam Sejahtera

Bersama-sama saya pada petang ini ialah Yang Berhormat Timbalan Menteri Pengajian Tinggi; Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti.

Kemasukan Semula Pelajar Institusi Pendidikan Tinggi Ke Kampus Secara Berperingkat

  1. Tahun 2020 merupakan tahun yang amat mencabar dan menguji kita semua, khususnya dalam mendepani pandemik COVID-19. Dalam menangani cabaran ini, Malaysia telah mengambil beberapa langkah strategik dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Alhamdulillah dengan langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan, negara telah berjaya mengurus pandemik COVID-19 sehingga dapat menurunkan kadar jangkitan, sekaligus melandaikan lengkung COVID-19.

  2. Sejak pelaksanaan PKP, semua IPT telah diarah menangguhkan operasi pentadbiran dan aktiviti akademik masing-masing. IPT juga telah diminta membuat penjadualan semula kalendar akademik 2020 dan meneruskan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian. Walau bagaimanapun, mengambil kira keperluan beberapa kategori pelajar yang perlu pulang ke kampus bagi menyempurnakan pengajian masing-masing, kerajaan telah bersetuju membenarkan lima kategori pelajar berkenaan untuk berbuat demikian mulai Mei 2020.

  3. Negara kini berada dalam fasa pemulihan seiring dengan situasi COVID-19 yang semakin terkawal. Fasa ini menyaksikan pembukaan beberapa sektor ekonomi dan perkhidmatan kerajaan secara lebih meluas. Terkini, kerajaan turut membenarkan sektor pendidikan untuk beroperasi semula dengan pembukaan sekolah; tadika dan pra-sekolah.

  4. Selaras dengan perkembangan ini, KPT telah mengkaji semula kesediaan Institusi Pendidikan Tinggi untuk memulakan operasi secara sepenuhnya berikutan situasi semasa COVID-19 di Malaysia yang semakin terkawal dan beransur pulih.

  5. Sehubungan itu, sukacita saya memaklumkan bahawa Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini telah bersetuju untuk membenarkan kemasukan empat lagi kategori pelajar IPT ke kampus secara berperingkat mulai Julai 2020.

  6. Kumpulan ini merupakan tambahan kepada lima kategori pelajar yang telah diberi kebenaran sebelum ini. Empat kategori pelajar yang dimaksudkan itu adalah seperti berikut:

    1. Pelajar tempatan di institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) sebanyak tiga puluh peratus (30%) seperti yang dimohon oleh Persatuan Kolej dan Universiti Swasta;

    2. Pelajar Tahun Satu, Dua, Tiga dan Empat Universiti Awam dalam bidang pengajian yang memerlukan latihan klinikal, latih amal, praktikal, bengkel, makmal, studio atau peralatan khusus, serta mereka yang perlu menduduki peperiksaan Badan Profesional;

    3. Pelajar Tahun Satu, Dua, Tiga dan EmpatUniversiti Awam yang tidak mempunyai akses internet atau persekitaran kondusif, seperti ruang belajar yang sempit atau keadaan yang tidak selesa bagi melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian;

    4. Pelajar antarabangsa dari kedua-dua Universiti Awam dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta termasuklah pelajar baharu.

  1. IPT diberi fleksibiliti dalam menentukan mod pembelajaran yang bersesuaian termasuklah meneruskan PdP secara dalam talian kepada pelajar-pelajar yang terlibat mengikut keperluan program masing-masing.

  2. Jemaah Menteri juga bersetuju kemasukan pelajar sepenuhnya adalah pada Oktober 2020. Bagi memastikan keputusan ini dapat dilaksanakan dengan sempurna, IPT dan para pelajar dipohon untuk membuat persediaan yang diperlukan mulai dari sekarang. KPT berpendapat tempoh hampir tiga bulan yang masih berbaki sehingga semester baharu dimulakan pada Oktober ini adalah mencukupi bagi semua pihak membuat persiapan dan persediaan yang diperlukan.

  3. Walau bagaimanapun, pihak KPT dan IPT prihatin mengenai beberapa masalah yang mungkin terpaksa dihadapi oleh sebahagian pelajar, khususnya yang berkaitan dengan isu-isu penginapan dan tiket penerbangan untuk kembali ke kampus. Justeru, semua usaha dan langkah yang diperlukan sedang diambil bagi menangani isu-isu ini. Dalam hubungan ini, para pelajar boleh menghubungi bahagian hal ehwal pelajar di IPT masing-masing.

  4. Pelajar yang pulang ke kampus diminta untuk terus mengamalkan penjarakan sosial dan sentiasa mengamalkan kebersihan diri. Semua aktiviti sukan dan riadah perlu mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Aktiviti pelajar adalah DIBENARKAN dengan syarat aktiviti tersebut tidak melebihi 250 orang tertakluk kepada saiz ruang dan penjarakan sosial.

  5. Bagi pelajar antarabangsa, mereka perlu mendaftar dengan pihak Education Malaysia Global Services sebelum  diberikan kebenaran masuk ke Malaysia oleh pihak Jabatan Imigresen Malaysia. Mereka perlu menjalani ujian PCR atau RTK Antigen dalam tempoh tiga hari sebelum masuk ke Malaysia. Mereka juga dikehendaki menjalani saringan kesihatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia  di pintu masuk negara ini dan seterusnya menjalani kuarantin diri selama 14 hari di lokasi yang akan ditetapkan oleh IPT masing-masing. 

  6. Ingin saya jelaskan bahawa Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan ini akan dikemaskini bergantung kepada arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

  7. Sekali lagi saya ulangi, keputusan kerajaan membenarkan pembukaan semula IPT mulai Julai sehingga pembukaan sepenuhnya pada Oktober 2020, dibuat atas keprihatinan kerajaan dalam memastikan pengajian para pelajar IPT tidak terjejas. Sebagai aset penting dalam memastikan kelangsungan dan kegemilangan negara di masa hadapan, aspek pendidikan dan kesejahteraan pelajar-pelajar IPT sentiasa menjadi keutamaan Kementerian Pengajian Tinggi. Justeru saya berharap keputusan ini dapat diterima baik oleh semua pihak.

SEKIAN, TERIMA KASIH.

  • Last updated on .
  • Hits: 14426
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Tuesday 23 April 2024, 10:59:17.