Teks Ucapan YBM - Kemasukan Pelajar Ke Kampus Institusi Pendidikan Tinggi secara Berperingkat Bermula 15 Oktober 2021

English translation not available for this content.

logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB DATUK SERI DR. NORAINI AHMAD
MENTERI PENGAJIAN TINGGI

KEMASUKAN PELAJAR KE KAMPUS INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI SECARA BERPERINGKAT BERMULA 15 OKTOBER 2021

14 SEPTEMBER 2021


Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

dan Salam Sejahtera.

Bersama-sama saya pada hari ini ialah Yang Berhormat Timbalan Menteri Pengajian Tinggi; Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti.

PENDAHULUAN

Saudara dan saudari yang saya kasihi,

  1. Sepanjang tempoh pandemik, aspek keselamatan dalam pengoperasian IPT amat dititikberatkan, dengan berpandukan nasihat dan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN), juga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Dalam hal ini, sebahagian besar daripada keseluruhan 1.2 juta orang pelajar di IPT di seluruh negara telah menjalani aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian melebihi tiga (3) semester berturut-turut. Ini memberikan cabaran yang besar kepada warga IPT terutamanya dari sudut psikologi dan ketahanan mental dalam menjalani proses pendidikan dalam negara.

KEMASUKAN PELAJAR SECARA BERPERINGKAT KE KAMPUS INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI (IPT) BAGI SESI AKADEMIK 2021/2022

  1. Justeru, dalam usaha untuk memastikan kelestarian kualiti pendidikan tinggi negara di samping meletakkan keselamatan dan kebajikan pelajar sebagai keutamaan jua, sukacita saya mengumumkan bahawa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan melaksanakan kemasukan pelajar secara fizikal ke kampus secara berperingkat sepertimana yang diluluskan oleh MKN. Proses ini akan dijalankan secara berperingkat bermula 15 Oktober 2021. Kemasukan pelajar yang lengkap divaksin ke IPT ini melibatkan semua kategori pelajar dan semua Fasa PPN dimana keutamaan diberikan kepada pelajar berkeperluan.

  2. Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira input sesi libat urus bersama-sama MKN dan KKM; pengurusan IPT yang merangkumi Naib-naib Canselor, Timbalan-timbalan Naib Canselor, dan wakil-wakil persatuan IPTS; serta Majlis Perwakilan Pelajar dan wakil Kesatuan/Persatuan Pelajar.

  3. Proses kemasukan pelajar ini akan menggunakan SOP Sektor Pendidikan Tinggi: Pengoperasian Keberadaan warga IPT yang telah lengkap divaksin akan membentuk komuniti sosial yang selamat serta mewujudkan persekitaran Fasa 4 PPN di dalam kampus. Jadinya, SOP yang ketat perlu diamalkan bagi menguruskan pergerakan keluar dan masuk.

  4. Saya ingin maklumkan di sini bahawa HANYA pelajar, staf akademik dan staf bukan akademik yang telah mendapat suntikan dos vaksin lengkap dan melepasi tempoh keberkesanan selepas divaksin sahaja yang dibenarkan masuk ke kampus. Perkara ini adalah tertakluk kepada kapasiti IPT, dengan mematuhi SOP yang ditetapkan. Ini merupakan satu langkah bagi membentuk persekitaran yang selamat dan herd immunity di kampus.

  5. Bagi pelajar yang tidak boleh divaksin atas faktor kesihatan, mereka diminta untuk menghubungi IPT masing-masing untuk penyelarasan.

VACC2Campus: Program Vaksinasi Warga IPT

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Bagi melancarkan proses kemasukan pelajar ini, KPT dengan kerjasama Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) sedang giat melaksanakan Program VACC2Campus bagi meningkatkan jumlah warga IPT yang mendapat vaksinasi lengkap sebelum kampus dibuka.

  2. KPT mengunjurkan 100 peratus kakitangan dan pelajar IPT yang boleh mendapat vaksin dan berdaftar dengan mySejahtera, akan menerima suntikan vaksin lengkap menjelang hujung Oktober 2021. Sehingga kini, sebanyak 66 peratus pelajar dan 90 peratus kakitangan IPT telah lengkap divaksin.

  3. Oleh itu, saya menyeru semua pelajar dan kakitangan IPT yang masih belum divaksin, untuk segera berbuat demikian. Bagi tujuan ini, warga IPT boleh mendapatkan vaksin secara walk-in di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin. Pelajar dan kakitangan IPT hanya perlu bawa kad pelajar/kad pekerja dan kad pengenalan/passport. Bagi pelajar baharu, mereka perlu membawa surat tawaran kemasukan ke IPT berserta dengan kad pengenalan/passport.

Pergerakan Pelajar

  1. KPT sedar bahawa kemasukan pelajar IPT melibatkan pergerakan pelajar dalam jumlah yang besar. Situasi ini mungkin menyebabkan kebimbangan terhadap keselamatan dan kesihatan pelajar. Oleh itu, KPT menetapkan proses kemasukan pelajar ke IPT dilaksanakan secara berperingkat bermula 15 Oktober 2021, mengikut kalendar akademik IPT masing-masing. Justeru, IPT perlu membuat perancangan yang teliti dengan mengenal pasti pelajar, menentukan jadual pergerakan, dan memastikan warga IPT melalui proses saringan kesihatan yang ketat.

  2. Pergerakan pelajar kembali ke kampus adalah berdasarkan kepada dua perkara berikut:

    1. Bagi IPT di Semenanjung, hanya surat kebenaran kembali ke kampus daripada IPT diperlukan; sementara

    2. Bagi IPT di Sarawak, Sabah dan Labuan, adalah tertakluk kepada SOP yang dikuatkuasakan oleh Kerajaan Negeri masing-masing. Pelajar perlu mendapatkan surat kebenaran rentas daerah/negeri daripada Polis Diraja Malaysia dan menjalani Ujian Swab RT-PCR. Cakna terhadap kos yang perlu ditanggung oleh pelajar, ujian ini akan diberikan secara percuma di klinik-klinik kesihatan Kerajaan.

  3. Pengukuhan SOP di kampus amat ditekankan bagi mengawal penularan jangkitan COVID-19. Justeru, KPT menetapkan supaya IPT menyediakan pusat pengasingan di IPT masing-masing bagi menguruskan kes-kes bergejala atau jangkitan. Pihak IPT juga digalakkan untuk memberi kit ujian kendiri Covid-19 kepada para pelajar yang kembali ke kampus.

Kemasukan Pelajar Antarabangsa

Warga IPT sekalian,

  1. Untuk kemasukan pelajar antarabangsa, sukacita saya umumkan kebenaran masuk ke Malaysia bagi tiga (3) kategori berikut:

    • Pertama, pelajar warganegara United Kingdom (UK) yang sebelum ini kemasukannya disekat;
    • Kedua, pelajar antarabangsa yang mengikuti program-program Mobiliti dan Edutourism; dan
    • Ketiga, tanggungan yang sah bagi pelajar antarabangsa yang berhasrat membawa keluarga bersama ke negara ini.
  2. Bagi pelajar antarabangsa yang telah lengkap vaksin, mereka perlu mendaftar dengan Education Malaysia Global Services (EMGS) sebelum diberikan kebenaran masuk ke Malaysia oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM). Ujian Swab RT-PCR COVID-19 perlu dijalankan tiga (3) hari sebelum masuk ke Malaysia. Setibanya di Malaysia, pelajar akan menjalani saringan kesihatan dan kuarantin di lokasi yang ditetapkan.

Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran

  1. Proses PdP akan dilaksanakan secara hibrid dengan pematuhan SOP yang telah diluluskan oleh MKN. Bagi kursus atau program yang dijalankan secara dalam talian, pelajar boleh memilih untuk meneruskan PdP secara dalam talian di lokaliti masing-masing. Aktiviti-aktiviti melibatkan makmal, bengkel, studio dan penyelidikan boleh dijalankan secara berkumpulan, berpandukan SOP yang ditetapkan.

Menyantuni Kesejahteraan Pelajar

Pelajar-pelajar dan ibu bapa yang saya hormati,

  1. Atas dasar keprihatinan serta kecaknaan KPT terhadap bebanan keluarga dan pelajar, saya ingin mengumumkan pengurangan yuran sebanyak 20 peratus kepada semua pelajar warganegara di Universiti Awam (UA) bagi Semester 1 Sesi 2021/2022, yang bakal memanfaatkan seramai 555,340 pelajar dengan nilai keseluruhan RM175 juta.

  2. Di bawah inisiatif #KPTPRIHATIN dan selaras dengan prinsip Keluarga Malaysia, program-program berkaitan kesihatan mental dan perkhidmatan kaunseling seperti Tele-Kaunseling dan Pengurusan Kesihatan Mental Diri turut disediakan.

PENUTUP

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Saya amat mengharapkan komitmen IPT dalam memastikan kelancaran proses kemasukan pelajar ke kampus. Semua IPT mesti memantapkan pelan komunikasi masing-masing supaya informasi dan tatacara kemasukan pelajar ini dapat disampaikan dengan jelas kepada semua pihak.

  2. Bagi mendapatkan maklumat terkini, pelajar boleh menghubungi Bilik Gerakan COVID-19 KPT yang beroperasi 24 jam setiap hari atau melayari laman web KPT. Pelajar-pelajar yang mempunyai masalah untuk kembali ke kampus, termasuklah berkaitan pengangkutan, bolehlah menghubungi pegawai penyelaras IPT masing-masing.

  3. Akhir kalam, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan perancangan dan pelaksanaan kemasukan pelajar kembali ke kampus secara berperingkat.

SEKIAN, TERIMA KASIH.

#KELUARGAMALAYSIA #KPTPRIHATIN #IPTSEJAHTERA

Muat Turun

pdf Teks Ucapan YBM - Kemasukan Pelajar Ke Kampus Institusi Pendidikan Tinggi secara Berperingkat Bermula 15 Oktober 2021 (240 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 21811
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 29 March 2024, 08:50:00.