Teks Ucapan YBM Sempena Majlis Apresiasi Kecemerlangan Tahun 2020 Kementerian Pengajian Tinggi

English translation not available for this content.

logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB DATUK SERI DR. NORAINI AHMAD
MENTERI PENGAJIAN TINGGI

SEMPENA

MAJLIS APRESIASI KECEMERLANGAN
TAHUN 2020
KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI

11:30 PAGI
22 JULAI 2021 (KHAMIS)
PLATFORM MAYA


Terima kasih saudara pengacara majlis.

Yang Berhormat Dato’ Mansor Haji Othman,
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi;

Yang Berbahagia Datuk Seri Dr. Mazlan Yusoff,
Ketua Setiausaha, Kementerian Pengajian Tinggi;

Yang Berusaha Dr. Mohd Zabri Yusoff,
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar),
Kementerian Pengajian Tinggi;

Yang Berbahagia Datuk Rosli Yaakub,
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan),
Kementerian Pengajian Tinggi;

Yang Berbahagia Prof. Dato’ Dr. Hussaini Omar,
Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi;

Yang Berusaha Ts. Zainab Ahmad,
Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti;

Yang Berusaha Prof. Madya Dr. Yazrina binti Yahya,
Timbalan Pengarah Pusat Kelestarian Kepimpinan, AKEPT

Seterusnya, Ketua-ketua Jabatan, Ketua-ketua Bahagian serta tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

PEMBUKA BICARA

  1. Alhamdulillah marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia-Nya jua, dapat kita bersama-sama berhimpun pada hari ini bagi meraikan pegawai-pegawai Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Jabatan serta Agensi di bawahnya, dalam Majlis Apresiasi Kecemerlangan Tahun 2020 KPT yang diadakan secara maya.

  2. Terlebih dahulu, syabas saya ucapkan kepada Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) serta seluruh jawatankuasa yang terlibat atas komitmen dalam menjayakan majlis pada hari ini. Sesi ini amat signifikan khususnya dalam memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada pegawai perkhidmatan awam yang telah menunjukkan prestasi perkhidmatan yang cemerlang.

    Ini termasuk juga segala khidmat dan bakti dalam melaksanakan tanggungjawab, baik tugas rasmi mahupun sumbangan aktif dalam kegiatan sukan, sosial dan kemasyarakatan.

ARE YOU A RUNNER, A JOGGER, A WALKER OR A RIDER?

Hadirin dan hadirat yang saya kasihi sekalian,

  1. Menjadi lumrah dalam kehidupan, kita menginginkan segala-galanya yang terbaik untuk kita. Kalau baju, kita nak yang cantik-cantik, makanan, kita nak yang sedap, malah dalam urusan harian, misalnya transaksi kewangan, kita nak yang cepat. Begitu juga dalam konteks organisasi. Untuk menjadi sebuah organisasi cemerlang, sudah tentu pekerja yang mempunyai prestasi kerja cemerlang sentiasa menjadi buruan. Aspek-aspek seperti pengetahuan, kemahiran, pengalaman, kecekapan dan nilai positif serta kepakaran yang dimiliki oleh pekerja merupakan aset yang tidak ternilai. Semuanya diperlukan demi memastikan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan berada pada tahap cemerlang.

  2. Ron Clark, seorang pengarang terlaris New York Times dalam buku “Move Your Bus” ada berkongsi tentang analogi “Runners”, “Joggers”, “Walkers” atau “Riders” dalam sesebuah organisasi. Beliau membayangkan organisasi itu seperti sebuah bas yang dipenuhi dengan pelbagai jenis orang, yang menyumbang atau menghalang organisasi tersebut untuk bergerak maju ke depan. Cuma, Clark mengubahnya menjadi seperti bas Flinstones yang mempunyai lubang besar di lantai dan mereka ini akan menggerakkan bas tersebut dengan kaki mereka.

  3. Beliau membahagikan pekerja dalam organisasi kepada empat kategori. Kategori pertama, “Runners” atau pelari yang secara konsisten akan sentiasa memecut melakukan tugas. Mereka mempunyai “passion” dan komited dalam setiap tugasan, memiliki tahap motivasi diri yang tinggi serta selalu memberikan idea-idea penyelesaian yang bernas. Seperti “Runners”, kategori kedua – “Joggers” juga positif kepada perubahan dan menyumbang dengan memberikan nilai tambah yang diperlukan, walau bagaimanapun, dengan tahap motivasi dan komitmen yang sedikit kurang.

  4. Kategori ketiga – “Walkers” merupakan pekerja yang tidak suka mengambil risiko dalam kerja. Kadang-kadang mereka berjalan ke arah yang betul, namun memerlukan galakan, pertolongan dan pujukan. Manakala kategori terakhir, iaitu “Riders” pula akan menjadi penghalang kejayaan sesebuah organisasi. Mereka ini sentiasa negatif dan suka bersungut.

  5. Saya percaya, yang ada bersama-sama dengan saya pada hari ini, adalah daripada kumpulan “Runners” atau paling tidak, “Joggers”. Memiliki keazaman yang tinggi dalam kerjaya dan sentiasa ada keinginan untuk memperbaiki diri serta meningkatkan lagi kebolehan diri. Malah, saya juga yakin bahawa di KPT ini, kita mempunyai ramai pegawai serta kakitangan yang dalam kategori ini. Justeru, menjadi kemestian agar golongan “Runners” dan “Joggers” ini diberikan sokongan dan pengiktirafan sewajarnya bagi membolehkan mereka terus bermotivasi untuk menyumbang kepada organisasi.

ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG

Hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) merupakan satu daripada kaedah yang Kerajaan praktikkan sekian lama dalam memberikan pengiktirafan kepada penjawat-penjawat awam yang menunjukkan prestasi kerja cemerlang. Saya difahamkan kuota penerima APC yang ditetapkan bagi setiap kementerian, jabatan atau agensi adalah kira-kira lapan peratus daripada pengisian jawatan keseluruhan pada akhir tahun yang berkenaan.

  2. Bagi tahun 2020, keseluruhan penerima APC di KPT adalah seramai 1,212 pegawai daripada pengisian jawatan, iaitu seramai 15,094 orang sehingga 31 Disember 2020. Namun dalam norma baharu, penganjuran majlis pada tahun ini hanya melibatkan penerima dari Ibu Pejabat KPT, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Ibu Pejabat Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) serta Akademi Pendidikan Pengajian Tinggi (AKEPT) sahaja. Jadinya pada hari ini, kita akan menyaksikan hanya seramai 116 pegawai yang akan menerima anugerah, terdiri daripada 64 orang pegawai kumpulan Pengurusan dan Profesional, dan 52 orang dari Kumpulan Pelaksana. Sekalung tahniah saya ucapkan kepada semua yang telah dipilih! Semoga dengan pengiktirafan ini akan menyuntik semangat; mencetus inspirasi dan seterusnya menjadi suri teladan kepada semua warga KPT dalam membentuk ekosistem pekerjaan yang cemerlang.

MEDIA SOSIAL DAN TANGGUNGJAWAB PENJAWAT AWAM

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

  1. Mengambil kesempatan pada ini, saya ingin memberikan saranan untuk semua tentang penggunaan media sosial. Sebagaimana yang kita sedia maklum, pada masa kini, penyaluran maklumat dalam dunia tanpa sempadan menggunakan media sosial menjadi begitu dominan berbanding dengan kaedah konvensional. Kita boleh akses kepada apa-apa maklumat dengan hanya menggunakan hujung jari pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Berdepan dengan persekitaran moden yang sangat mudah dan pantas menuntut kita untuk menjadi lebih bijak dalam menilai serta menapis segala maklumat yang diterima. Ini penting bagi memastikan rahsia Kerajaan sentiasa terpelihara.

  2. Oleh itu, saya ingin menyeru agar warga KPT khususnya, menggunakan media sosial dengan berhemah. Gunakanlah saluran yang betul dalam mengutarakan pandangan dan pendapat. Saya percaya pengurusan tertinggi KPT sentiasa bersedia dalam menerima perkara yang diutarakan, apatah lagi sekiranya ianya dapat membantu memperbaiki penyampaian perkhidmatan Kementerian ini.

  3. Segala pertanyaan atau aduan yang dikemukakan melalui media sosial haruslah diambil peduli dan maklum balas perlu disegerakan. Tidak hanya dengan itu, kita juga adalah duta kecil kementerian yang turut berperanan memperkenalkan serta menyebarluaskan perkhidmatan kita kepada rakyat. Contohnya, bantu sebar berkenaan dengan usaha kita menubuhkan Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pengajian Tinggi (PPV IPT). Suka saya kongsikan di sini bahawa sehingga 19 Julai 2021, sebanyak 38 buah PPV IPT telah beroperasi merangkumi Universiti Awam (UA); Hospital Pengajar Universiti (HPU); Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan Politeknik. PPV IPT ini mempunyai kapasiti untuk memberikan suntikan vaksin sebanyak sekitar 35,000 dos sehari atau 1.05 juta dos sebulan. Contoh lain, uar-uarkan juga akan kecaknaan Kementerian dalam menyantuni kebajikan dan keperluan pelajar IPT, seperti food bank, bantuan pakej pelan data dan peranti, moratorium pinjaman PTPTN dan sebagainya.

AKHIR KALAM

  1. Akhir kata, sekali lagi, syabas kepada semua penerima APC bagi tahun 2020. Kekalkan rentak kecemerlangan dan komitmen yang telah ditunjukkan selama ini, dan teruskanlah mendokong usaha Kerajaan ke arah kemakmuran negara serta kesejahteraan rakyat.

  2. Sesungguhnya, tingkah laku yang utuh dan tahap disiplin penjawat awam yang tinggi dalam melaksanakan tugas amat diharapkan demi menjayakan inisiatif kerajaan khususnya di sektor pengajian tinggi kerana “self-government won't work without self-discipline”.

Sekian.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Muat Turun

pdf Teks Ucapan YBM - Majlis APC (421 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 15016
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 27 March 2024, 16:20:33.