English translation not available for this content.
logo kpt black

TEKS UCAPAN

DATUK SERI DR. NORAINI AHMAD
MENTERI PENGAJIAN TINGGI

MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN DAN NOTA KERJASAMA ANTARA UNIVERSITI AWAM, POLITEKNIK  DAN KOLEJ KOMUNITI DAN SURUHANJAYA PILIHAN RAYA MALAYSIA BAGI PROGRAM MEMPERKASA PENDIDIKAN PENGUNDI (UNDI 18)

16 OGOS 2022 (Selasa)


  1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya jua, dapat kita bersama-sama pada hari ini, sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Nota Kerjasama antara Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) bagi Program Memperkasa Pendidikan Pengundi (Undi 18).
  1. Untuk makluman semua, majlis pada hari ini merupakan manifestasi sokongan KPT kepada pelaksanaan Undi 18, yang diterjemahkan melalui kerjasama antara UA, Politeknik, Kolej Komuniti dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dalam melaksanakan program-program pendidikan pengundi kepada pelajar.
  1. Justeru, terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada Yang Berbahagia Tan Sri Abdul Ghani bin Saleh, Pengerusi SPR serta seluruh pasukan SPR dan Akademi Pilihan Raya (APR) kerana memberikan ruang untuk menjayakan kolaborasi ini. Semoga ikatan strategik ini menjadi titik tolak kepada hubungan yang lebih erat dan kerjasama kukuh antara kedua-dua pihak pada masa hadapan.
  1. Tahniah dan terima kasih juga kepada semua pihak yang terlibat kerana telah bertungkus-lumus memastikan kelancaran majlis pada petang ini.

UNDI 18 DAN PENGLIBATAN PELAJAR DALAM POLITIK 

Hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Seperti yang kita semua sedia maklum, pada Julai 2019, Parlimen telah meluluskan cadangan pindaan Seksyen 3 (a) dan (b) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 berkenaan dengan penurunan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun. Pindaan ini juga turut melibatkan pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik oleh Kerajaan Malaysia.
  1. Secara prinsipnya, ini sudah tentu meningkatkan bilangan pengundi muda dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Malah, dengan pindaan ini, majoriti pelajar IPT layak turun mengundi sebagai pengundi kali pertama dalam PRU akan datang.
  1. Tambahan kepada itu, pemansuhan Seksyen 15(2)(c) dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1975 dan Seksyen 10(2)(c) dalam Akta Institusi-institusi Pelajaran pada tahun 2019 telah membenarkan pelajar Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) melibatkan diri dalam politik kepartian di dalam dan luar kampus, termasuk bertanding sebagai calon pilihan raya.
  1. Hakikatnya, kedua-dua perubahan ini telah menghadirkan peranan yang lebih besar kepada pelajar IPT untuk melibatkan diri secara lebih bermakna dalam proses demokrasi negara.
  1. Dan, ini pastinya menuntut komitmen Kerajaan, khususnya pihak KPT, untuk memberikan pendedahan dan kefahaman kepada para pelajar tentang sistem demokrasi, pilihan raya dan politik negara.

PELAKSANAAN PROGRAM PENDIDIKAN PENGUNDI

  1. Sebab itu dalam amanat saya kepada warga KPT awal tahun ini, saya telah menekankan supaya dilaksanakan sesi libat urus bagi mendengar idea, pandangan dan memberi kesedaran terutamanya berkaitan literasi politik berhubung Undi18 kepada pelajar-pelajar IPT.
  1. Dan alhamdulillah, sejak awal tahun hari itu, pelbagai program pendidikan pengundi telah dilaksanakan di IPTA dengan kerjasama APR dan SPR. Matlamatnya adalah supaya golongan pelajar yang prihatin dengan sistem pemerintahan negara dan berupaya menyumbang kepada pembentukan kerajaan berdemokrasi dapat dilahirkan.
  1. Jika boleh saya sebutkan di sini, antaranya ialah program Pengenalan Asas Kesedaran Mengundi Kepada Pelajar Baharu IPT; Penerbitan dan Hebahan Digital Berkaitan Pendidikan Pengundi; APR Associate Trainer (AAT)/ Training of Trainers (ToT); serta Pendedahan Terhadap Simulasi Sebenar Pilihan Raya.
  1. Terdapat juga kursus, ceramah, forum, bual bicara, taklimat, bengkel, seminar dan yang seumpamanya berkaitan Undi18, selain daripada Program Mahasiswa Cakna Undi18, Jelajah Perpaduan Negara dan banyak lagi. 

MEMORANDUM PERSEFAHAMAN DAN NOTA KERJASAMA ANTARA UNIVERSITI AWAM, POLITEKNIK, KOLEJ KOMUNITI DAN SURUHANJAYA PILIHAN RAYA MALAYSIA BAGI PROGRAM MEMPERKASA PENDIDIKAN PENGUNDI (UNDI 18)

  1. Justeru, sudah semestinya pelaksanaan program yang lebih holistik, tersusun dan terselaras perlu dilakukan. Dan saya lihat, pemeteraian MoU dan Nota Kerjasama antara pihak pelaksana dan pihak berkepakaran adalah sangat perlu. Dengan erti kata lain, perlu ada kerjasama yang berstruktur antara pihak UA serta Politeknik dan Kolej Komuniti (melalui Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK)) sebagai pelaksana serta SPR melalui APR sebagai pihak yang pakar.
  2. Dalam hubungan ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak Universiti Teknologi MARA (UiTM) kerana telah merintis pemeteraian kerjasama strategik dengan SPR pada 27 Januari 2022 yang lalu, bagi melaksanakan program pendidikan pengundi kepada pelajar.
  1. Sebagai Universiti Awam yang terbesar di Malaysia dengan kapasiti 185,400 pelajar di seluruh negara, dianggarkan sejumlah 85,201 orang atau 46 peratus mahasiswa di UiTM adalah berusia antara 18 hingga 20 tahun dan dijangka terlibat dengan pelaksanaan Undi 18. Dan jumlah ini sebenarnya mewakili hampir 19 peratus daripada keseluruhan pelajar yang terlibat dengan Undi 18 di semua IPT di bawah seliaan KPT.
  1. Oleh itu, besar harapan saya agar langkah 18 buah lagi UA serta semua politeknik dan kolej komuniti (melalui JPPKK) untuk menjalin kolaborasi dengan pihak SPR dalam usaha pemerkasaan literasi politik pelajar sebentar nanti akan dapat menjadikan pelaksanaan program pendidikan pengundi yang lebih berimpak tinggi dan berkesan ke atas pelajar IPTA.
  1. Suka juga saya maklumkan di sini bahawa satu Jawatankuasa Program Memperkasakan Pendidikan Pengundi Pelajar (Undi 18) akan ditubuhkan oleh KPT. Jawatankuasa ini nanti akan dianggotai oleh wakil-wakil Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) daripada 20 buah UA, JPPKK, APR dan SPR serta Bahagian Mahasiswa Holistik, JPT selaku urus setia.
  1. Fungsi utama Jawatankuasa ini adalah sebagai platform bagi pihak KPT, UA serta APR dan SPR membincangkan berkenaan dengan pelaksanaan program-program pendidikan pengundi yang melibatkan pelajar IPTA.
  1. Jawatankuasa ini juga bertanggungjawab melihat keberkesanan pelaksanaan program yang telah dirancang, dan seterusnya mencadangkan mekanisme yang sesuai bagi menambah baik pelaksanaan program tersebut.
  1. Insya-Allah, dengan pewujudan tadbir urus yang jelas ini, sasaran pelaksanaan program-program pendidikan pengundi kepada pelajar IPTA serta hasrat untuk melahirkan graduan yang holistik dan seimbang dapat dicapai.

PENUTUP

Hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Saya berharap memorandum dan nota kerjasama yang bakal termeterai nanti akan memberikan lembaran baharu dan nafas yang lebih segar kepada kerjasama antara KPT, UA, Politeknik, Kolej Komuniti dan SPR.
  1. Saya juga berharap pelaksanaan program-program pendidikan pengundi ini juga akan diperluaskan kepada Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS).
  1. Saya percaya, dengan adanya pelaksanaan program-program pendidikan pengundi yang terselaras di peringkat nasional, akan dapat membantu mencapai aspirasi Kerajaan untuk melahirkan pelajar IPT sebagai pengundi bijak, matang dan berketerampilan.

Sekian. Wabillahitaufiq wal hidayah.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih.

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan YBM Majlis MoU UA SPR.pdf (142 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 17998
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 April 2024, 16:56:01.