English translation not available for this content.
logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

PERASMIAN AGRO TOURISM FARM FRESH @ UPM

20 MAC 2023


Tuan-tuan dan pan-puan,

  1. Alhamdulillah, pertama sekali saya ingin panjatkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, kita diberikan kesempatan dan ruang untuk bersama di dalam Majlis Perasmian Agrotourism Farm Fresh @ UPM pada hari ini.
  1. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada kedua-dua pihak Universiti Putra Malaysia (UPM) dan syarikat Farm Fresh Milk Sdn Bhd atas kejayaan memeta hubungan kerjasama yang strategik ini.
  1. Saya difahamkan yang kedua-dua pihak UPM dan Farm Fresh telah berjaya menjalinkan persefahaman dalam membangunkan Pusat Kecemerlangan Industri (ICOE) Ladang Tenusu di Ladang 16, Pusat Pertanian Putra, UPM.
  1. Yang menariknya, terdapat beberapa pendekatan penting telah digabungjalin agar kerjasama ini menjadi lebih inovatif dan bermanfaat kepada semua.
  1. Pertama, melalui kolaborasi ini, UPM-Farm Fresh telah membangunkan apa yang dipanggil Pusat Edu-Tourism.
  1. Pusat ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar dalam industri tenusu serta menggalakkan generasi muda meminati bidang pertanian.
  1. Pendedahan seperti ini adalah kritikal. Khususnya bagi merancakkan proses pembelajaran dan penyelidikan pelbagai aspek berkaitan tenusu.
  1. Pusat ini sudah pastilah turut menjadi platform yang memberi peluang kepada pihak Farm Fresh memperkenalkan teknologi serta trend terkini dalam industri tenusu.
  1. Ini akan sekali gus meningkatkan aktiviti penyelidikan dalam bidang penternakan tenusu dari aspek pengeluaran, pemprosesan dan penjenamaan, pengedaran dan jualan.
  1. Kedua, kerjasama ini turut dipakejkan sebagai satu projek agro-tourism.
  1. Ia tidak hanya melibatkan pelajar dan penyelidik dari UPM. Sebaliknya, bentuk dan konsep kerjasama ini membolehkan orang ramai dari luar kampus berpeluang untuk melawat dan merasai pengalaman berada di sebuah ladang tenusu.
  1. Tambah menarik apabila elemen agro-tourism ini dilengkapkan dengan aktiviti rekreasi seperti petting zoodan peluang menikmati pelbagai jenis makanan yang berasaskan susu dan ternakan.
  1. Saya yakin pembukaan Agro-Tourism Farm Fresh ini akan menjadi satu tarikan bukan sahaja kepada para pelajar, anggota akademik malah masyarakat awam di luar sana.

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Kementerian sememangnya memandang kerjasama strategik antara universiti dan industri sebagai aspek kritikal dalam sektor pendidikan tinggi.
  1. Kita tidak melihatnya sebagai elemen sisipan atau sekadar tambahan.
  1. Sebaliknya, kerjasama dengan pihak industri hari ini sudah menjadi prasyarat yang tidak boleh dielakkan. Ia mesti menjadi sebahagian daripada fokus dan keutamaan dunia akademik.
  1. Biar dalam aspek mana sekali pun kita lihat. Sama ada dari perspektif pemantapan ilmu dan pengalaman ahli akademik, kemenjadian graduan mahu pun tanggungjawab sosial korporat atau ikhtiar menjayakan agenda kelestarian, kerjasama IPT dan industri adalah perkara yang tidak boleh dielakkan.
  1. Justeru, ia menuntut kita untuk berusaha sehabis baik bagi merancakkan kerjasama antara IPT dan pihak industri.
  1. Di pihak KPT, kita berpandangan bahawa rumus dan formula kerjasama IPT dan industri boleh diringkaskan kepada 3 perkara.
  1. Pertama, ia mestilah bersifat Hubungan Baik.
  2. Industri dan universiti bukan pesaing.
  1. Kerjasama IPT dan pihak industri bukan lapangan untuk saling mencabar atau berlumba dengan cara yang tidak produktif.
  1. Sebaliknya, ia harus saling melengkapi. Bersifat menyokong antara satu sama lain.
  1. Kedua, kerjasama IPT dan industri harus dilakukan dengan matlamat mewujudkan Hab Bakat.
  1. Hubungan baik universiti dan industri bukan bertujuan untuk mengeksploitasi mana-mana pihak. Ia adalah ruang perkongsian ilmu, pemantapan pengalaman dan platform memberi nilai tambah.
  1. Kita mahu menjadikan kehadiran industri ke dalam kampus IPT sebagai daya tujahan yang menarik dan menggilap bakat terbaik negara. Agar mereka mendewasa menjadi graduan serba boleh dengan pendedahan kepada dunia industri yang sebenar.
  1. Malah, kita mengharapkan yang kerjasama IPT dan industri akan membolehkan para penyelidik, sama ada dari dalam mahu pun luar negara, mempunyai motivasi dan semangat melakukan penyelidikan dengan lebih rancak, realistik dan hasilnya berupaya diterjemahkan ke dalam amalan industri.
  1. Ketiga, rumus dan formula kerjasama universiti dan industri mestilah bermatlamat membuahkan Hasil Bersama.
  1. Apabila kedua-dua industri dan IPT menjalinkan kerjasama melalui hubungan baik dan berusaha membangunkan hab bakat yang cemerlang, sudah pastilah kita mengharapkan wujud hasil bersama yang menguntungkan kedua-dua pihak.
  1. Pihak Kementerian dan saya secara peribadi tidak mempunyai halangan untuk IPT kita menjalinkan banyak kerjasama yang bersifat komersial dan menguntungkan. Malah, kita sangat menggalakkannya.
  2. Melaluinya kerjasama seperti ini, IPT kita akan mempunyai lebih banyak saluran untuk menjana pendapatan. Ini sekali gus membantu kemandirian dan kelangsungan sesebuah IPT.
  1. Berdasarkan 3 rumus atau formula mudah yang seharusnya memimpin dan menjadi garis panduan sesuatu kerjasama strategik industri dan IPT ini, maka kementerian melalui JPT telah turut menyusun beberapa langkah penting. Kita harap inisiatif ini dapat menjadi daya lonjakan dalam hubungan IPT dan industri.
  1. Pertama, JPT akan memperkasakan sesi libat urus industri dan universiti dengan pelaksanaan KPT-JPT-Industry Roundtable Meeting Series.
  1. Inisiatif meja bulat ini akan melibatkan 30 wakil dari segmen industri yang terpilih, wakil 20 universiti awam serta pihak KPT / JPT sebagai perantara dan pemuda cara.
  1. Kita mahu memastikan perkongsian input dan pengalaman industri dapat diperhalusi secara lebih mendalam dan serius, khususnya semasa proses mereka bentuk dan merombak kandungan pengajian kita.
  1. Selain itu, inisiatif ini bertujuan mempromosikan secara langsung kepada pihak industri pelbagai bidang kepakaran universiti kita terutama dalam perundingan dan penyelidikan yang boleh dijalankan bersama industri.
  1. Inisiatif yang kedua pula adalah penubuhan Majlis Penasihat Industri Pendidikan Tinggi yang akan dianggotai oleh wakil-wakil daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), JPT, agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dan pihak industri.
  1. Mandat dan fungsi utama majlis ini nanti adalah untuk memperhalusi dan mempertimbangkan cadangan dan syor berdasarkan dapatan perbincangan oleh Roundtable Meeting Series.
  1. Kedua-dua inisiatif ini diharapkan untuk turut memperkemas dan memantapkan inisiatif-inisiatif sedia ada seperti Industy On Campus, Makers@University dan URTF iaitu pendekatan kilang pengajaran atau Teaching Factory.

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Saya harap semua usaha ini akan memberikan hasil terbaik. Kepada pihak industri, pihak universiti dan sudah pastinya kepada mahasiswa.
  1. Apabila kita berjaya melahirkan mahasiswa yang berketahanan, berpengetahuan serta mempunyai sudut pandangan industri yang mantap, saya yakin masyarakat dan ekonomi negara kita akan menjadi bertambah baik dan menerima manfaatnya.
  1. Sekali lagi saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada kedua-dua pihak Farm Fresh dan Universiti Putra Malaysia atas usaha dan kerjasama yang baik ini.
  1. Saya dan pihak Kementerian Pendidikan Tinggi mengucapkan selamat maju jaya.
  1. Akhir kata, dengan lafaz mulia Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Agro-tourism Farm Fresh @ UPM.
  1. Terima kasih.

Muat Turun:

pdf Ucapan Perasmian Agro Tourism Farm Fresh @UPM.pdf (111 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 9448
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Thursday 13 June 2024, 18:24:01.