Ucapan Aluan Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad Menteri Pengajian Tinggi Mesyuarat Perdana Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Tahun 2021

English translation not available for this content.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

PENGENALAN

Hadirin dan hadirat sekalian,

  • Terlebih dahulu, saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd Yassin, Perdana Menteri Malaysia atas kesudian Yang Amat Berhormat Tan Sri untuk hadir dan seterusnya mempengerusikan Mesyuarat Perdana Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) tahun 2021 pada hari ini.

  • Untuk makluman Yang Amat Berhormat Tan Sri, Mesyuarat Perdana MPPK pada tahun ini merupakan penganjuran kali ke-21 sejak diperkenalkan pada Oktober 1999. Mesyuarat ini lazimnya dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri yang dianggotai oleh perwakilan pemimpin mahasiswa daripada Universiti Awam (UA), Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik, Kolej Komuniti, dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPG). Saya juga telah dimaklumkan Yang Amat Berhormat Tan Sri pernah mempengerusikan Mesyuarat Perdana MPPK sebelum ini dan saya pasti ianya sentiasa dekat di hati Yang Amat Berhormat Tan Sri.

  • Tujuan utama penubuhan MPPK adalah sebagai jambatan untuk menghubungkan kerajaan dan mahasiswa. Melalui Mesyuarat Perdana MPPK ini, mahasiswa mempunyai peluang untuk melontarkan idea dan juga pandangan bukan sahaja untuk membincangkan isu-isu semasa berkaitan hal ehwal mahsiswa tetapi turut boleh memberikan idea bagi kebajikan dan pembangunan negara.

11 AGENDA MPPK

Hadirin dan hadirat sekalian,

  • Kementerian Pengajian Tinggi sangat prihatin dan mendengar suara mahasiswa. Langkah proaktif telah dilaksanakan dalam merealisasikan ke semua 11 Agenda yang telah dikemukakan oleh MPPK. KPT telah menjalankan sesi libat urus bersama beberapa agensi yang terlibat bagi menjayakan 11 Agenda seperti sesi libat urus bersama agensi perbankan, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan syarikat pembekal telco di Malaysia.

  • Antara agenda yang telah berjaya direalisasikan oleh KPT adalah penubuhan Jawatankuasa Khas PTPTN Bersama Mahasiswa, agenda kualiti capaian internet iaitu dengan pelancaran MYREN, pelancaran PENJANA KPT (CAP) dan Pelancaran Portal Rumah Sewa Siswa. Agenda lain yang akan dilancarkan dan dilaksanakan dalam masa terdekat adalah Kad Prihatin Siswa, Penubuhan Yayasan Kebajikan Mahasiswa, Modul Latihan Kepimpinan Mahasiswa Nasional (LAKSAMANA), Pelancaran Garis Panduan Pilihanraya Kampus dan program Parlimen Mahasiswa.

  • Ini membuktikan selain daripada KPT menjalankan dasar serta menjalankan program-program bagi melahirkan mahasiswa yang berpotensi untuk memenuhi aspirasi negara, KPT juga sentiasa prihatin dan cakna dengan segala hasrat yang diutarakan oleh mahasiswa terutamanya usaha-usaha memperkasakan mahasiswa itu sendiri.

PELAKSANAAN MESYUARAT PERDANA MPPK DALAM SITUASI PANDEMIK COVID-19

Hadirin dan hadirat sekalian,

  • Seperti semua sedia maklum, negara kita sedang diuji dengan pandemik Covid-19 tetapi bukan bermakna kita harus mengalah dengan tidak melakukan sebarang aktiviti yang boleh meningkatkan potensi diri. Mesyuarat Perdana MPPK pada tahun ini diadakan juga walaupun secara Video Virtual supaya suara dan pandangan daripada mahasiswa terus didengari bagi kepentingan dan kemaslahatan bersama.

  • Penganjuran Mesyuarat Perdana MPPK ini juga selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) dibawah Lonjakan 1, iaitu melahirkan graduan yang holistik, berciri keusahawanan dan seimbang. Sebanyak dua (2) siri Bengkel Penulisan Kertas Pertimbangan MPPK telah diadakan. Tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk melatih mahasiswa cara untuk mendokumentasikan dan menyampaikan pembentangan secara kritis, intelektual dan berhemah.

  • Bagi perjalanan mesyuarat kita pada hari ini, kita akan mendengar pembentangan tiga (3) kertas pertimbangan daripada perwakilan pemimpin mahasiswa iaitu:

    • Skim Rumah Sewa Rakyat (RASIONAL) oleh Saudara Muhammad Haziq Azfar bin Ishak;
    • Pemerkasaan Sektor Pertanian Dalam Negara:Future Proofing Industri Pertanian Malaysia oleh Saudara Kuhan Bathmanaban; dan
    • Integrasi Teknologi Bagi Penambahbaikan Pengurusan Kesihatan Rakyat Malaysia (S.I.H.A.T) oleh Saudari Sharifah Alawwiyyah Syed Abu Bakar
  • Akhir kata, sekali lagi saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua hadirin terutamanya Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd Yassin, Yang Berhormat Menteri-Menteri, pengurusan tertinggi kementerian, jabatan, agensi dan para mahasiswa yang hadir dalam Mesyuarat Perdana MPPK 2021 pada hari ini.

Sekian, Wabillahi al-taufik walhidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Muat Turun

  1. document Teks Ucapan YBM Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan 2021 (71 KB)
  • Last updated on .
  • Hits: 13444
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 April 2024, 16:56:01.