7 Fokus Utama KPT Tahun 2025 PACU Pendidikan Tinggi Negara
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah membentangkan hala tuju Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi tahun ini pada Majlis Perutusan Tahun 2025 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pagi tadi.
Dalam majlis dihadiri pelbagai kelompok pemegang taruh sektor pendidikan tinggi negara tersebut, beliau telah mengumumkan tujuh (7) Fokus Utama untuk dicapai iaitu Penyediaan Bakat Terbaik Negara; Kewibawaan Akademia dan Warga Kampus; Pemindahan dan Perkongsian Ilmu; Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi; Governan dan Kepemimpinan; Kemampanan Kewangan IPT; serta Infrastruktur, Digital dan Kesejahteraan Kampus.
Ketujuh-tujuh Fokus Utama tersebut akan dijayakan melalui pelaksanaan 20 buah program signature KPT, antaranya pemerkasaan Industry on Campus (IoC); mewujudkan Repositori Kepakaran Bersepadu; pengenalan sabatikal industri; pemerkasaan komuniti melalui Program KPT INSPIRASI: 1 IPT 1 Daerah; pengumpulan sijil berkredit sesuai keperluan peribadi dan profesional; edutourism; pendidikan rentas sempadan (TNE); Malaysia sebagai pendidikan tinggi ASEAN untuk penyelidikan; inisiatif kampus hijau; dan pelbagai lagi.
Pada masa yang sama, YB Menteri turut mengumumkan sepuluh (10) Agenda Transformasi Pendidikan Tinggi yang bakal merubah lanskap serta trajektori sektor ini sesuai dengan perkembangan semasa dunia tempatan dan global.
Antara Agenda Transformasi tersebut merangkumi perihal mengkaji semula sistem kenaikan pangkat di IPT termasuklah ahli akademik; memohon pengecualian UA daripada tertakluk kepada Akta 605 supaya bebas memberikan suara dalam bidang kepakaran masing-masing; mengkaji semula Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555); meminda Akta 550 bagi memacu Politeknik dan Kolej Komunit dalam bidang TVET; mewujudkan Unit Research, Development, Innovation, Commercialization, and Economy (RDICE) di setiap IPT; serta mengkaji beban kerja ahli akademik.
Selain itu, Agenda Transformasi tersebut turut mengkaji semula kedudukan dan kerjasama IPT di bawah kerajaan negeri negari dengan KPT dan IPT yang lain; mengkaji dan struktur semula pejabat Education Malaysia agar lebih bersesuaian dengan jumlah semasa pelajar Malaysia di luar negara; serta KPT akan membangunkan satu sistem untuk kemasukan pelajar antarabangsa ke Malaysia bagi memastikan sijil yang dihantar melalui permohonan adalah sahih dan setaraf dengan kelayakan untuk memasuki ke IPT di Malaysia.
Dalam perutusan tersebut juga, YB Menteri telah mengumumkan bahawa Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025-2035 (PPTM 2025-2035) sudah di peringkat akhir dan akan dibentangkan kepada YAB Perdana Menteri tidak lama lagi.
- Last updated on .
- Hits: 579