71 Peratus Permohonan Peranti Siswa Pelajar IPT Di Kelantan Telah Diluluskan

71 Peratus Permohonan Peranti Siswa Pelajar IPT Di Kelantan Telah Diluluskan
English translation not available for this content.

14,253 permohonan kemudahan peranti di bawah Program Peranti Siswa Keluarga Malaysia pelajar IPT di Kelantan telah diluluskan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, berkata jumlah tersebut mewakili 71% daripada 20,080 permohonan pelajar dari Universiti Awam, Politeknik, Kolej Komuniti dan IPTS di negeri Kelantan yang diterima sehingga 26 Oktober 2022.

“Pengagihan PerantiSiswa di IPT kini sedang giat dijalankan bagi permohonan yang telah diluluskan.

“Saya telah meminta supaya proses kelulusan dan pengagihan ini dibuat pada kadar sesegera yang mungkin kerana tidak mahu anak-anak menunggu lama untuk mendapatkan peranti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penyerahan Peranti Siswa Keluarga Malaysia kepada 40 orang pelajar yang mewakili pelajar-pelajar dari Universiti Awam dan IPTS di negeri Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, hari ini.

Pada majlis itu, Dr Noraini turut menyempurnakan majlis Pelancaran Program Kembara Keluarga Simpan SSPN Tahun 2022 Peringkat Negeri Kelantan Penyampaian Sumbangan Akaun Simpan SSPN Prime.

Beliau berkata, Program Kembara Keluarga Simpan SSPN Tahun 2022 bertujuan untuk membantu pelajar asnaf dari aspek pendidikan serta galakan awal memulakan penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak dan membentuk kesedaran penabungan sebagai jaminan masa depan.

“Program yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan pemimpin setempat di Negeri Kelantan ini melibatkan 14 kawasan dengan jumlah sumbangan sebanyak RM140,000.00 dengan penglibatan seramai 1,400 pelajar.

“Setiap kawasan diperuntukkan RM10,000.00 dan seramai 100 orang pelajar asnaf di setiap kawasan akan menerima sumbangan akaun Simpan SSPN Prime bernilai RM100.00 seorang,” tambahnya.

Selain itu, Dr Noraini turut menyempurnakan pelancaran Program Keahlian Pra-U@UMK yang merupakan program keahlian yang pertama seumpamanya dilaksanakan di perpustakaan universiti awam mahupun swasta di Malaysia.

Menurutnya, tujuan kad keahlian ini diwujudkan supaya perpustakaan di universiti menjadi pusat sehenti bagi masyarakat untuk mendapatkan perkhidmatan seperti carian bahan rujukan, pelbagai maklumat semasa, penyelidikan serta pakar rujuk dalam pelbagai bidang.

  • Last updated on .
  • Hits: 3887
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Thursday 25 April 2024, 11:52:58.