Berjaya Kumpul RM6.4 Juta Sumbangan, Raja Permaisuri Agong Rai Para Penyumbang Dana Pendidikan UTM
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah telah berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Santapan Diraja Universiti Teknologi Malaysia (UTM) 2024 di sini malam semalam.
Turut berangkat ialah YAM Che’ Puan Mahkota Johor, Khaleeda Bustamam, yang juga merupakan Pro-Canselor UTM.
Ketibaan baginda disambut oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, bersama Pengerusi Lembaga Pengarah UTM, Tan Sri Azman Hj Mokhtar, dan Naib Canselor UTM, Datuk Prof. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail.
Majlis dwitahunan ini bertujuan mengumpul dana untuk membantu pelajar UTM melalui pelbagai bentuk bantuan seperti biasiswa, bantuan sara hidup, pembayaran yuran, bantuan perubatan, makanan percuma, serta peralatan pembelajaran.
Selain mengumpul dana, majlis ini juga menjadi platform untuk menghargai para penyumbang yang membantu UTM membangunkan ekosistem pembiayaan pendidikan yang mampan demi kesejahteraan pelajar.
Dana yang dikumpul akan disalurkan ke beberapa tabung pendidikan UTM seperti Tabung Endowmen UTM, Tabung Dana Wakaf Pendidikan UTM, Tabung Because We Care Chancellor Fund, Tabung Endowmen Alumni UTM, dan Tabung Endowmen UTMSPACE.
Pada tahun ini, majlis berjaya mengumpul lebih RM6.4 juta hasil sumbangan daripada kerajaan negeri, syarikat korporat, industri, alumni, kakitangan, dan individu, sekali gus membantu memastikan pelajar UTM mendapat peluang pendidikan yang lebih baik tanpa halangan kewangan.
Menurut Naib Canselor UTM dalam sembah ucapannya,
sumbangan yang telah diterima sebelum ini telah dimanfaatkan oleh 883 penerima Biasiswa Endowmen dengan kos keseluruhan sebanyak RM25.9 juta. Sehingga kini jumlah dana endowmen UTM yang terkumpul ialah sebanyak RM159.7 juta.
- Last updated on .
- Hits: 834