FIM Siri 6 Bincang Pencapaian Dan Masa Depan Sektor Pengangkutan Negara

FIM Siri 6 Bincang Pencapaian Dan Masa Depan Sektor Pengangkutan Negara
English translation not available for this content.

Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 6 yang berlangsung di Menara Prasarana semalam membuka pentas wacana kebangsaan yang membincangkan masa depan pengangkutan awam negara secara menyeluruh.

Bertemakan “Pengangkutan untuk Rakyat: Mengimbangi Antara Kemampuan Rakyat, Kualiti dan Kemampanan Pengangkutan Awam”, forum ini dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama Prasarana Malaysia Berhad sebagai hos dan dikendalikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Forum ini mempertemukan tokoh dasar, pelaksana industri dan akademik dalam satu sesi terbuka yang memperkukuh budaya dialog berasaskan ilmu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah membuka forum dengan pembentangan tentang pencapaian operasi Prasarana, termasuk peningkatan jumlah penumpang harian, pengurangan gangguan perkhidmatan dan pelaksanaan perkhidmatan baharu seperti Rapid On Demand, serta hala tuju organisasi tersebut.

Menteri Pengangkutan, YB Loke Siew Fok menekankan penerapan prinsip MADANI dalam dasar Kementeriannya, termasuk usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui subsidi pas My50, pelaksanaan dasar 'road-to-rail' dan cadangan memperkenalkan 'congestion charge' sebagai langkah perubahan tingkah laku pengguna kenderaan persendirian.

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah pula membawakan sudut akademik, menekankan kepentingan data permintaan pengangkutan yang komprehensif, termasuklah mencadangkan pembangunan Pelan Jaringan Pembangunan Pengangkutan Awam ("Public Transport Network Development Plan") serta akses data terbuka kepada penyelidik sebagai asas untuk perancangan jangka panjang.

YAB Perdana Menteri dalam ulasannya memuji usaha pembaharuan oleh Prasarana dan Kementerian Pengangkutan, namun menegaskan bahawa transformasi tidak boleh hanya bergantung kepada peruntukan kewangan.

Sebaliknya, ia menuntut keberanian politik, integriti pengurusan dan kecekapan pelaksanaan agar sistem pengangkutan benar-benar berfungsi untuk rakyat.

Beliau turut menyentuh keperluan menilai semula model pembangunan pengangkutan dari perspektif nilai dan ihsan.

Dalam nada berseloroh, YAB Perdana Menteri mengakui tiada tajuk forum yang tidak disusuli dengan permintaan tambahan peruntukan, namun menyeru semua pihak agar terus berfikir secara berani dan terbuka untuk masa depan negara.

Sesi soal jawab turut menyaksikan penyertaan aktif peserta, termasuk wakil komuniti OKU yang membangkitkan cabaran sebenar dalam akses pengangkutan awam. Beberapa peserta lain mencadangkan agar perumahan mampu milik dibina berdekatan stesen MRT dan LRT untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.

Cadangan penubuhan Lembaga Pengangkutan Bandar ("Urban Transport Authority") juga diketengahkan bagi menyelaras pembangunan bandar dan jaringan pengangkutan secara lebih berkesan.

Forum ini memperlihatkan bagaimana dialog antara sektor dasar, pelaksanaan dan ilmu boleh membentuk pemahaman bersama yang lebih menyeluruh terhadap cabaran dan potensi negara. Ia juga menonjolkan keperluan pendekatan rentas sektor yang saling melengkapi dari penyelidikan dan data sehinggalah kepada pengurusan sumber dan penyampaian perkhidmatan.

KPT menegaskan bahawa forum seperti ini adalah bukti kepada peranan pendidikan tinggi sebagai rakan strategik dalam perumusan dasar negara. Melalui penyertaan aktif institusi dan penyelidik, KPT yakin bahawa ilmu dan fakta boleh menjadi tunjang kepada dasar yang lebih adil, mampan dan berpaksikan rakyat.

Forum Ilmuwan MADANI kini terbukti sebagai platform yang bukan sahaja menyemai budaya ilmu dalam wacana nasional, tetapi turut menyatukan suara pelbagai pihak dalam mencari penyelesaian terhadap isu-isu kritikal negara secara bersama, inklusif dan berhemah.

Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; dan Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim. 

  • Last updated on .
  • Hits: 212
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Monday 16 June 2025, 06:58:06.

sirim-logo