Golongan Akademia Diseru Perkukuh Peranan Dalam Pembangunan Negara
YB Menteri Pendidikan Tinggi ketika menyampaikan ucaptama sempena perasmian Konvensyen Akademia 2024 (KA24) yang dianjurkan oleh Akademi Profesor Malaysia (APM) bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di sini pagi tadi telah menekankan kepentingan peranan golongan akademia dalam memacu pembangunan negara.
Dalam ucapannya, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir mengingatkan tentang tanggungjawab golongan akademia di negara ini untuk terus menyuarakan pandangan secara bebas serta memberi perhatian kepada isu-isu semasa yang melibatkan masyarakat sambil menegaskan pentingnya ahli akademik mengamalkan pemikiran yang bebas dan berani dalam membangkitkan kebenaran.
"Kita perlu terus membina masyarakat yang mempunyai minda yang terbuka dan bebas daripada kepompong pemikiran tertawan ('captured mind')," tambahnya.
Malah, beliau memberi jaminan bahawa kebebasan akademia di negara ini akan sentiasa dipertahankan dan akan turut memastikan tiada kongkongan yang dikenakan.
Pada masa yang sama, beliau turut menyeru agar hubungan yang kukuh dan konstruktif dapat dibina antara golongan akademik dan kerajaan bagi mencapai penyelesaian yang terbaik.
Menyentuh mengenai peranan kepengerusian Malaysia untuk ASEAN pada tahun hadapan, beliau menekankan bahawa agenda pendidikan tinggi perlu dijadikan sebahagian daripada agenda utama ASEAN, terutamanya kebersamaan dalam mendepani cabaran global.
KA24 dianjurkan sebagai platform strategik untuk menggembleng idea, ilmu dan wawasan akademia dalam memacu kecemerlangan sektor pendidikan tinggi negara yang disertai oleh lebih 200 ahli akademik tempatan serta pelbagai pihak berkepentingan.
Konvensyen ini diharap dapat menghasilkan resolusi-resolusi penting yang akan memanfaatkan pembangunan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPPTM) 2026-2035, selari dengan komitmen APM untuk memartabatkan akademia negara.
Turut mengisi atur cara KA24 adalah Forum Masa Depan Pendidikan Tinggi, yang telah membariskan Ketua Setiausaha KPT, Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang sebagai ahli panel dengan mengetengahkan perbincangan mengenai hala tuju pendidikan tinggi negara menjelang 2035.
Konvensyen ini juga diharap dapat menghasilkan resolusi-resolusi penting yang akan memanfaatkan pembangunan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPPTM) 2026-2035, selari dengan komitmen APM untuk memartabatkan akademia negara.
- Last updated on .
- Hits: 689