Graduan UiTM Unicorn Scholar Programme (USP) Disaran Jadi Usahawan Kreatif Dan Berinovasi

Graduan UiTM Unicorn Scholar Programme (USP) Disaran Jadi Usahawan Kreatif Dan Berinovasi
English translation not available for this content.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Dato' Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian telah menyempurnakan Majlis Graduasi Program Unicorn Scholar Programme (USP) anjuran Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini semalam.

Program eksklusif pemerkasaan agenda keusahawanan mahasiswa UiTM tersebut telah ditawarkan kepada pelajar dari seluruh kampusnya yang layak serta menepati kriteria akademik, sahsiah dan kepimpinan dalam mengupayakan mereka dilatih sebagai usahawan yang nisbi dengan pasaran semasa.

Seramai 30 orang pelajar telah melalui empat (4) fasa latihan bermula Julai 2021 hingga September 2022 dengan hanya 17 orang daripada mereka berjaya mencapai penilaian yang telah ditetapkan dan telah menerima sijil masing-masing yang telah disampaikan oleh YBhg. Dato' Dr. Megat Sany dalam majlis semalam.

Dalam program tersebut, Arliya Munif, graduan UiTM dan pemilik syarikat Araliya Resources telah dinobatkan sebagai Peserta Terbaik dan membawa pulang hadiah tempat pertama berjumlah RM2,000.00.

Dalam ucapannya, beliau berharap para graduan program ini akan memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang telah ditimba serta mampu menjadi golongan yang mempunyai sikap dan kepimpinan yang tinggi, mempunyai minda keusahawanan yang kreatif dan berinovasi serta mampu berdaya saing di peringkat industri dan antarabangsa sambil terlibat aktif dalam penciptaan pekerjaan dan bakat negara.

  • Last updated on .
  • Hits: 2049
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 April 2024, 16:56:01.