IPT Platform Tepat Perkasa Modal Insan Berteraskan Al-Quran Bercirikan Wasatiyyah
Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) adalah antara platform yang tepat untuk memperkasakan modal insan yang mempunyai fikrah dan kerohanian yang bersepadu; serta beraliran wasatiyyah iaitu sederhana.
Memetik ayat 143 surah al-Baqarah, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud menjelaskan, pendekatan sederhana atau pertengahan tersebut mampu menjayakan usaha kerajaan dalam mencapai kemajuan dan kemakmuran hasil toleransi pelbagai bangsa dan agama.
Beliau yang hadir menyempurnakan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat IPT 2024 (MTHQIPT2024) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pagi tadi turut merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atas kesudian menghulurkan kerjasama dalam penganjuran majlis sebegini.
Katanya, kerjasama tersebut menggambarkan komitmen kerajaan dalam menjayakan gagasan Malaysia Madani melalui budaya membaca al-Quran dan memahami Intipatinya; serta mengaplikasikan tuntutan serta menghindari larangan-Nya dalam amalan kehidupan seharian.
Tambahnya lagi, sebarang permasalahan yang dihadapi oleh umat Islam pada masa kini boleh dicapai solusinya berpaksikan kepada ilmu kecerdasan dan kefahaman dalam agama Islam
"Atas dasar inilah saya mengatakan bahawa institusi pendidikan tinggi adalah platform yang tepat kerana fokusnya adalah membangun cerdik pandai dalam pelbagai bidang," ucap beliau.
Pada majlis tersebut, YB Timbalan Menteri turut mengumumkan dua (2) pakej umrah khusus untuk peserta yang memperolehi markah tertinggi dalam setiap kategori (Tilawah dan Hafazan Al-Quran) MTHQIPT kali ini.
"Semoga dengan ini dapat menarik ramai untuk turut serta dan lebih memotivasikan dalam melahirkan Qari dan Qariah yang mampan dan terbaik," tambah beliau.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM merangkap Ahli Lembaga Pengarah UniSZA, Dato' Dr. Sirajuddin Suhaimee; dan Naib Canselor UniSZA, Dato' Prof. Dr. Fadzli Adam.
- Last updated on .
- Hits: 579