Jejak IPT Inisiatif Elak Pelajar Lepasan SPM Tercicir

 Jejak IPT Inisiatif Elak Pelajar Lepasan SPM Tercicir
English translation not available for this content.

Hanya berbaki tiga hari lagi sebelum tarikh permohonan UPUOnline ditutup, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud terus mengambil langkah proaktif menjejaki pelajar di kawasan setempat agar tidak terlepas peluang pembelajaran ke peringkat lebih tinggi.

YB Timbalan Menteri (YBTM) yang ditemani Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA Jabatan Pendidikan Tinggi, Mohd Najib Mohd Sarif telah menyerahkan pin UPU kepada pelajar-pelajar yang dikenalpasti berpotensi tetapi belum berbuat demikian selain turut menyampaikan bantuan kewangan dan memberi panduan serta galakan kepada pelajar terbabit menyambung pelajaran ke pengajian tinggi.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus komited mengambil inisiatif menjejaki pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mengelakkan keciciran melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi termasuk mengikuti program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

YBTM berkata, Jejak IPT hari ini melibatkan empat buah rumah namun terdapat lebih 100 pelajar yang dikenal pasti dan ini akan dimaklumkan melalui sekolah masing-masing.

"KPT akan membantu untuk mendapatkan pin dan ini yang kita lakukan di KPT kerana kita tidak mahu anak-anak ini tercicir seterusnya mahu mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” tambahnya.

Dalam pada itu, YBTM juga turut mempromosikan Program Jom Masuk U (JMU2024) di saluran radio SABAHfm dan menyeru orang ramai mengambil peluang keemasan datang ke tapak program untuk mendapatkan Pin UPU selain mendapatkan khidmat nasihat pengajian bersesuaian dengan keputusan.

Terdahulu, program JMU2024 yang telah dilaksanakan di 9 lokasi seluruh negara menyediakan sesi konsultasi yang melibatkan sebanyak 58 buah reruai yang terdiri daripada semua Universiti Awam (UA), Politeknik dan Kolej Komuniti, Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) serta Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah, menjadi destinasi terakhir Program JMU2024 dan bas percuma turut disediakan khususnya kepada masyarakat di sekitar Kota Kinabalu pada Sabtu dan Ahad ini.

Turut hadir, pegawai-pegawai dari KPT, UiTM, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Politeknik Kota Kinabalu dan kakitangan Bank Simpanan Nasional (BSN). 

  • Last updated on .
  • Hits: 991
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Saturday 07 September 2024, 08:39:09.

sirim-logo