KPT Dukung Inisiatif Program Idea Bina Negara

KPT Dukung Inisiatif Program Idea Bina Negara
English translation not available for this content.

Pagi tadi telah berlangsungnya majlis pelancaran program Idea Bina Negara yang telah disempurnakan oleh YAB Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri anjuran Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) bertempat di UiTM Shah Alam.
Kehadiran PM yang diiringi oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi, YB. Senator Dato' Dr. Ahmad Masrizal Muhammad, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Prof. Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM dan Saudara Muhammad A'linur Ahlam Abu Bakar, Presiden Majlis Perundingan Perwakilan Pelajar Kebangsaan turut disambut kira-kira 4000 belia yang hadir secara fizikal dan lebih 50,000 orang para pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dari seluruh negara secara maya.

Program Idea Bina Negara (IBN) merupakan satu platform digital yang dibangunkan hasil kerjasama strategik antara J-KOM dan UiTM dalam menghimpunkan pelbagai pandangan, idea dan input-input bermanfaat daripada Keluarga Malaysia khususnya golongan belia yang berumur 35 tahun ke bawah bagi penyediaan Bajet 2023 serta aspirasi mereka ke arah pembangunan negara.

Bertemakan “Idea Bina Negara” dan cogan kata “Ini Suara Kita”, platform ini adalah antara medium yang paling tepat untuk mendapatkan secara terus idea dan pandangan anak-anak muda yang hasilnya telah menyumbangkan 12,794 idea sejak prapelancarannya 20 Ogos lalu.

Pada majlis yang turut dihadiri barisan Menteri Kabinet tersebut, para belia turut diberi peluang untuk melontarkan pandangan dan soalan kepada PM melalui sesi dialog yang membincangkan pelbagai topik melibatkan politik, ekonomi, pentadbiran negara dan aspirasi anak muda.

Seterusnya, PM turut singgah ke tapak karnival IBN yang memaparkan pelbagai aktiviti dan pameran berkaitan belia, antaranya pameran kerjaya, reruai pameran dan jualan, pertandingan e-sukan dan kendera saji.

Turut hadir Dato' Seri Abdul Razak Jaafar, KSU KPT, Dato' Dr. Husaini Omar, KPPT, para naib canselor universiti awam serta para pemimpin perwakilan pelajar IPT dari seluruh negara.

  • Last updated on .
  • Hits: 3644
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 April 2024, 16:56:01.