Kunjungan Hormat daripada Encik Michael Yuan, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia

English translation not available for this content.
Hari ini YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi telah menerima kunjung hormat daripada Encik Michael Yuan, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia di pejabatnya di Putrajaya.
Kunjungan tersebut adalah bertujuan bagi membincangkan kerjasama antara kedua-dua belah pihak yang telah terjalin erat melalui pelbagai inisiatif dan program.
Komitmen Huawei melalui inisiatif PENJANA KPT CAP, iaitu program reskilling dan upskilling bagi melahirkan graduan berketrampilan telah membuahkan hasil melalui program Huawei Certified ICT Associates yang memberi peluang pekerjaan kepada 500 graduan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
YB Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Huawei Malaysia di atas komitmennya dalam program Huawei Seeds for the Future yang memberi peluang pelajar-pelajar IPT mengikuti lawatan ke China bagi mendapatkan latihan ICT ibu pejabat global Huawei di Shenzen selain turut diberi pendedahan mengenai budaya, adat resam dan bahasa Mandarin.
Selain itu, Huawei ICT Academy merupakan projek kolaboratif yang melibatkan IPT bagi membantu pemerkasaan ekosistem pengembangan bakat. Penyertaan pelajar dalam latihan profesional yang diakui secara antarabangsa membolehkan mereka memperoleh sijil profesional Huawei.
Sehingga kini, 28 buah akademi telah ditubuhkan di 14 IPT awam dan swasta. Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), dan Universiti Sains Malaysia (USM) adalah antara IPT yang mendapat manfaat daripada akademi ini dalam memberi pendedahan terhadap teknologi canggih, sumber pengajaran dan pembelajaran, serta alat simulasi yang memenuhi standard industri.
Huawei turut menyertai CEO@Faculty Program, iaitu inisiatif KPT untuk mengukuhkan kerjasama antara ahli akademik dan pemain industri. Program ini mendorong pertukaran kepakaran dan pengetahuan yang saling bermanfaat bagi kedua-dua belah pihak.
Turut hadir Datuk Seri Dr Mazlan Yusoff, Ketua Setiausaha KPT, Dr. Mohd Zabri Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Prof. Dato' Dr. Husaini Omar, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Ts. Zainab Ahmad, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti dan Datuk Mohd Sharil Abdullah, Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat, JPT.
 
  • Last updated on .
  • Hits: 8669
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Tuesday 23 April 2024, 10:59:17.