Misi bantuan dan sukarelawan Kementerian Pengajian Tinggi menyantuni mangsa-mangsa di Kampung Kuala Sungai Muda dan Kampung Tengah, Puchong, Selangor

English translation not available for this content.

Misi bantuan dan sukarelawan Kementerian Pengajian Tinggi pada hari ini terus bergerak menaburkan khidmat bakti dan sumbangan kepada mangsa bencana banjir yang menimpa Malaysia tempohari.

Kali ini, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi bersama 300 orang sukarelawan pelajar serta staf Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menyantuni mangsa-mangsa di Kampung Kuala Sungai Muda dan Kampung Tengah, Puchong, Selangor.

Kehadiran para surelawan dari universiti-universiti awam (UA) tersebut telah menyumbang tenaga membantu membersih kawasan kediaman serta mengagih barangan sumbangan seperti bakul makanan, pakaian terpakai, tilam dan bantal kepada para penduduk yang terjejas.

YB Datuk Seri Dr. Noraini meneruskan program dengan menziarahi beberapa rumah kakitangan IPT serta agensi dibawah KPT di kawasan sekitar serta Bandar Kinrara untuk menyerahkan sumbangan sambil menitipkan kata-kata semangat kepada mereka.

Selain itu, YB Datuk Seri Dr. Noraini turut melawat wakil komuniti serta menyampaikan sumbangan dari pihak UA kepada mangsa-mangsa banjir di Taman Sri Muda dan Sekyen 24, Shah Alam.

Bagi membantu para pelajar IPT serta keluarga mereka yang terlibat dengan bencana banjir kali ini, KPT telah turut mengaktifkan Bilik Gerakan Banjir di Kementerian serta di semua IPT yang terbabit bagi mendapatkan bantuan serta sokongan yang diperlukan.

Selain itu, KPT turut menyokong inisiatif penangguhan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) serta Cuti Bencana oleh beberapa UA yang dilihat dapat meringankan beban dan membantu mangsa yang terkesan kembali menjalani kehidupan seperti sediakala.

Seluruh warga KPT turut berdukacita serta bersimpati dan mengharapkan agar semua mangsa tabah dengan musibah yang berlaku.

  • Last updated on .
  • Hits: 6816
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 29 March 2024, 08:50:00.