Pelancaran Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 di Dewan Ilmu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra

English translation not available for this content.

YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi telah melancarkan Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 di Dewan Ilmu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra hari ini.

Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 ini merupakan satu dokumen dasar dan strategi yang penting untuk memberi panduan kepada semua Institusi Pendidikan Tinggi di Malaysia, dalam melaksana dan merancang aktiviti kebolehpasaran graduan di institusi masing-masing bagi tempoh 5 tahun akan datang.

Pelan ini merupakan kesinambungan daripada The National Graduate Employability Blueprint 2012-2017 dan ianya dibangunkan untuk memberikan panduan penyelesaian segera kepada institusi awam dan swasta untuk menyediakan graduan berkualiti yang boleh dimasukkan ke pasaran kerja dan akhirnya menyumbang kepada ekonomi negara.

Dalam majlis yang sama, turut diadakan sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara KPT dengan PERKESO dan TalentCorp. Melalui kolaborasi ini, pihak PERKESO menawarkan penggunaan Portal MyfutureJobs kepada graduan IPT dan perkongsian data pekerjaan bagi membantu KPT membuat perancangan perkara-perkara berkaitan dengan kebolehpasaran graduan dengan lebih tepat secara ‘evident based’.

Manakala Talentcorp pula menawarkan penggunaan Modul TalentcorpNEXT (Nurturing Expert Talent) bagi membolehkan pemprofilan kerjaya dilakukan. Menerusi inisiatif ini, para pelajar dapat menentukan kerjaya yang mereka akan ceburi selepas menamatkan pengajian

Selain itu, turut dilancarkan Buku Usahawan Siswa: Memeta Haluan, Melakar Jaya oleh Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan pengumuman pemenang Pertandingan Cabaran Idea Graduan atau Graduates@GREaT Challenge.

Turut hadir YBhg. Datuk Seri Dr. Mazlan Yusoff, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, YBrs. Dr. Mohd Zabri Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), KPT, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBrs. Ts. Zainab Ahmad, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, YBhg. Prof. Dato' Dr. Mohammad Shatar Sabran, Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan YBrs. Lt. Kol. Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli, Naib Canselor UniMAP.

  • Last updated on .
  • Hits: 12219
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Tuesday 23 April 2024, 10:59:17.