Pembangunan Jalan Utama Ke Hospital Pengajar UMS Siap Diserahkan
Satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan infrastruktur negara tercatat petang tadi dengan penyerahan rasmi projek pembinaan dan menaiktaraf jalan masuk utama sepanjang 1.5 kilometer ke Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sabah (HUMS).
Dalam ucapan perasmian Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud menekankan peri pentingnya projek ini yang dibangunkan dengan kos RM19 juta sejak tahun 2021 yang merupakan satu daripada komponen utama dalam pembangunan Hospital Pengajar UMS yang dijadualkan siap pada tahun 2025.
Justeru, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan Kerajaan Negeri Sabah atas kejayaan menyempurnakan projek mengikut jadual yang ditetapkan.
“Pembangunan infrastruktur adalah tulang belakang bagi kemajuan negara. Jalan raya bukan sekadar laluan pengangkutan, tetapi ia merupakan nadi yang menghubungkan komuniti, mempercepatkan mobiliti dan merancakkan ekonomi,” kata beliau.
Penyiapan jalan ini dijangka memberikan impak positif kepada masyarakat setempat, terutama sekali kepada kakitangan dan pelawat HUMS apabila hospital itu mula beroperasi kelak.
Projek ini juga seiring dengan usaha kerajaan dalam memperkukuhkan infrastruktur pendidikan tinggi negara dan memastikan pelaksanaan projek di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus berjalan lancar.
Ini termasuk komitmen KPT untuk memastikan hospital pengajar UMS dapat beroperasi dengan baik dan menyumbang kepada pembangunan kesihatan serta pendidikan rakyat Sabah.
YB Ts. Datuk Mustapha mengakhiri ucapannya dengan menyeru kerjasama berterusan dari semua pihak dalam pelbagai inisiatif pembangunan, sambil menekankan semangat kesepaduan sebagai kunci kejayaan.
- Last updated on .
- Hits: 1909