Penyerahan Surat Pemakluman Pelaksanaan Projek PPRN di Batu Pahat Johor tahun 2021

English translation not available for this content.

YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi, hari ini telah menyerahkan surat pemakluman pelaksanaan projek PPRN kepada dua daripada 13 syarikat dan kumpulan penyelidik yang telah berjaya mendapat geran Public-Private Research Network(PPRN) pada tahun 2021, di Batu Pahat, Johor.

Syarikat tersebut, Bio Star Resources, mengeluarkan produk kopi Liberica. Syarikat ini bekerjasama dengan kumpulan penyelidik daripada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang diketuai oleh Professor Madya Dr. Nik Hisyamudin Muhd Nor selama 6 bulan bagi membangunkan Mesin Memproses Kopi Jambu dan Kopi Padi.

Sebuah lagi syarikat yang menerima surat pemakluman pelaksanaan projek PPRN ialah Perusahaan T&M Mee Siput Enterprise. Syarikat ini bekerjasama selama 6 bulan dengan kumpulan penyelidik daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang diketuai oleh Prof. Ts. Dr. Aminudin Hj Abu (UTM) bagi membangunkan sebuah Mesin Membuat Mee Siput.

PPRN merupakan inisiatif inovatif KPT yang mengetengahkan model kerjasama strategik antara industri dan akademia yang bertujuan untuk meningkatkan produktiviti, dan mengukuhkan pertumbuhan ekonomi Malaysia melalui program inovasi yang berpacukan permintaan.

Pelaksanaan projek PPRN diharap dapat membantu meningkatkan produktiviti syarikat terbabit melalui penghasilan kuantiti dan kualiti kopi dan mee siput yang lebih baik. KPT juga berharap agar peruntukan yang diberikan ini dapat digunakan sebaik mungkin oleh penyelidik UTM dan UTHM.

Sejak bermulanya PPRN pada tahun 2015, KPT telah meluluskan sebanyak 660 projek PPRN dengan jumlah peruntukan melebihi RM 20 juta. Bagi menambah baik pengurusan PPRN, ia telah melalui proses penjenamaan semula kepada PPRN 2.0 pada penghujung tahun 2019. Melalui PPRN 2.0, jumlah peruntukan telah dinaikkan daripada RM 50 ribu kepada RM350 ribu. Pelbagai syarikat tanpa mengira saiz samada mikro, kecil atau besar boleh memohon projek PPRN berdasarkan kepada kriteria-kriteria yang telah ditetapkan.

Turut hadir Datuk Seri Dr. Mazlan Yusoff, Ketua Setiausaha KPT, Dr. Mohd Zabri Yusoff, Timbalan KSU (Dasar) KPT, Dato’ Prof. Dr. Husaini Omar, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly, Naib Canselor UTHM.

  • Last updated on .
  • Hits: 6700

MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 29 March 2024, 08:50:00.