POTENSI@KPT Gilap Bakat Siswa IPT

POTENSI@KPT Gilap Bakat Siswa IPT
English translation not available for this content.

YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi hari ini hadir memberi sokongan kepada pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Program POTENSI@KPT yang diadakan di lobi KPT tengah hari tadi.

POTENSI@KPT merupakan program serlah bakat dan potensi siswa IPT melalui pelbagai aktiviti kesenian seperti nyanyian, tarian, lukisan, pengucapan awam, debat, pidato serta deklamasi sajak.

Bagi sesi kali ini, para pelajar UniMAP daripada pelbagai latar belakang dan jurusan mempersembahkan aktiviti nyanyian, tarian moden dan tradisional, serta mempersembahkan lukisan potret memaparkan wajah YB Menteri.

Para pelajar ini aktif melakukan persembahan serta telah memenangi pelbagai anugerah di peringkat tempatan dan antarabangsa. Antara pencapaian para pelajar tersebut ialah Anugerah Bonang Emas Majlis Anugerah Kebudayaan Universiti Malaysia, Southern Thailand International Innovation dan Culture kali ke-4, serta Anugerah Emas Pertandingan Tarian Berkumpulan Asia Pacific Arts Festival, Singapore 2019.

Dianjurkan oleh Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat (BKIM), Jabatan Pendidikan Tinggi, program ini diadakan pada setiap hari rabu bermula hari ini di Lobi KPT.

Turut hadir, YBhg. Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, YBrs. Dr. Mohd Zabri Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), YBhg. Dato' Prof. Dr. Husaini Omar, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBrs. Prof. Dr. Mohd Foad Saadan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal dan Alumni UniMAP serta warga KPT.

  • Last updated on .
  • Hits: 3799
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 April 2024, 16:56:01.