Siri Talk To Us, Ruang Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Berdialog Bersama Mahasiswa Bermula Di UIAM

Siri Talk To Us, Ruang Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Berdialog Bersama Mahasiswa Bermula Di UIAM
English translation not available for this content.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud telah memulakan siri Talk To Us (TTU) iaitu sesi dialog antara beliau bersama mahasiswa Institusi Pendidikan (IPT) dengan pelajar baharu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bagi sesi akademik 2024/2025 sebagai destinasi pertamanya.

Program ini berlangsung di Dewan Utama, Pusat Kebudayaan (ICC) di Kampus Gombak UIAM dan merupakan sebahagian daripada aktiviti sempena minggu taaruf bagi pelajar baharu.

Seramai 4,583 pelajar telah menyertai sesi TTU ini, di mana mereka berpeluang berinteraksi secara langsung dengan Timbalan Menteri.

Objektif utama sesi ini adalah untuk memberi ruang kepada pelajar baharu UIAM berkomunikasi secara terus dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta membincangkan isu-isu semasa yang dihadapi pelajar.

Dalam ucapannya, YB Datuk Ts. Mustapha menekankan kepentingan dialog ini sebagai platform untuk merapatkan hubungan antara pelajar dan kementerian melalui perbincangan interaktif.

Beliau turut menyampaikan visi dan misi KPT dalam membantu meningkatkan kesejahteraan pelajar, terutamanya dalam aspek kewangan dan akademik.

Pada majlis yang sama, beliau telah menyerahkan bantuan kewangan kepada beberapa orang pelajar baharu di situ, pelajar daripada keluarga B40 melalui Yayasan Perkasa Siswa (YPS) bagi kumpulan pertama.

Selain itu, seramai 773 pelajar baharu daripada golongan B40 turut menerima bantuan melalui Tabung Endowmen UIAM, yang menanggung yuran kemasukan mereka dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM516,010.

Sesi ini diharap dapat memperkukuh hubungan antara pelajar dan kementerian, serta memastikan suara dan keperluan pelajar didengari.

Hadir sama Timbalan Rektor Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti, Prof. Dr. Akmal Khuzairy Abd Rahman, Eksekutif Kanan YPS, Mejar Khairul Amri Hasim, serta pegawai kanan UIAM dan KPT bersama para pelajar UIAM. 

  • Last updated on .
  • Hits: 1077
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 06 December 2024, 10:19:49.

sirim-logo