SUKIPT Ke-6, Medan KPT Cungkil Atlet Pelapis Untuk Negara

SUKIPT Ke-6, Medan KPT Cungkil Atlet Pelapis Untuk Negara
English translation not available for this content.

"SUKIPT (Sukan Institusi Pendidikan Tinggi) merupakan medan kepada pencarian serta platform persediaan atlet pelapis di peringkat IPT untuk bersaing di temasya sukan yang lebih besar dan berprestij seperti Sukan Universiti Asean (AUG) dan Sukan Universiti Dunia (UNIVERSIADE).

Usaha ini memperlihatkan KPT sentiasa relevan sebagai salah satu agen yang turut membantu dalam mempertingkatkan pembangunan mutu sukan negara".

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata demikian di hadapan kira-kira 6,000 orang atlet ketika menyempurnakan majlis perasmian Sukan IPT ke-6 di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Selaku tuan rumah kejohanan dwitahunan antara IPT peringkat kebangsaan kali ini, UUM bakal menjadi medan kepada 73 kontinjen merangkumi 20 universiti awam, 46 universiti swasta, 1 politeknik, 1 kolej komuniti dan 5 Institut Pendidikan Guru (IPG) dalam mempamerkan kejaguhan masing-masing.

Bermula 6 hingga 14 September depan, SUKIPT ke-6 akan menawarkan 231 pingat emas melalui 28 acara sukan di kesemua 23 buah gelanggang pertandingan.

Pada penganjuran ke-5 lalu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), sebanyak 46 rekod kejohanan telah dipecahkan.

Justeru, YB Timbalan Menteri mencabar para peserta untuk cuba memecahkan rekod kebangsaan pada edisi kali ini, dengan menawarkan ganjaran sebanyak RM20,000.

"Saya ingin mencabar para atlet yang bertanding dalam SUKIPT ke-6 2024, untuk mencatatkan rekod kebangsaan, tidak kiralah dalam apa jenis acara pun, dan mereka yang berjaya kita akan bagi secara bersama wang tunai berjumlah Ringgit Malaysia Dua Puluh Ribu (RM20,000.00)," ucap beliau.

Tambahnya lagi, para atlet perlu menjadikan juga kejayaan-kejayaan atlet cemerlang SUKIPT terdahulu sebagai satu dorongan dan pembakar semangat untuk mereka pula melakar sejarah tersendiri di SUKIPT ke-6 ini.

Penganjuran SUKIPT telah dilangsungkan hasil kerjasama strategik Majlis-majlis Sukan IPT iaitu Majlis Sukan Universiti (MASUM) ; Majlis Sukan Politeknik Malaysia (MSP); Majlis Sukan Kolej Komuniti (MASKOM); serta Majlis Sukan IPTS Malaysia (MASISWA).

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Naib Canselor UUM, Dato' Prof. Dr. Mohd Fo'ad Sakdan; Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Fazidah Mustafa; serta Timbalan Setiausaha Bahagian, (Seksyen Sukan) KPT, Dr. Hanafiah Ayub.

Jangan lupa untuk mengikuti perkembangan terkini serta penstriman langsung kejohanan di laman Facebook Rasmi Sukan Institusi Pendidikan Tinggi. 

  • Last updated on .
  • Hits: 1095
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 30 October 2024, 10:30:11.

sirim-logo