UKM Kongsi Kepakaran HCTM Melalui Program 'Mari Berjumpa Pakar Kesihatan'

UKM Kongsi Kepakaran HCTM Melalui Program 'Mari Berjumpa Pakar Kesihatan'
English translation not available for this content.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) telah menganjurkan Program Khidmat Masyarakat ‘Mari Berjumpa Pakar Kesihatan’ di Dewan Komuniti Bestari Lekir, Manjung sejak semalam.

Program selama dua (2) hari bermula semalam ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang penyakit vaskular, bersempena sambutan Bulan Kesedaran Penyakit Vaskular Sedunia.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir sempat turun padang meninjau pelaksanaan program sambil beramah mesra dengan petugas serta para pengunjung.

Dalam ucapannya, beliau memuji inisiatif ini dengan menyatakan bahawa program sebegini adalah sebuah langkah yang baik dan bertepatan dengan dasar Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) iaitu Pemindahan Ilmu dan Kepakaran kepada masyarakat.

Katanya lagi, melalui pendekatan ini juga, rakyat dapat merasai kehadiran universiti yang datang memberi khidmat kepakaran secara terus kepada mereka.

Beliau turut menambah bahawa masyarakat di kawasan ini telah mendapat manfaat daripada pemeriksaan kesihatan yang dijalankan, termasuk ujian jantung dan pemeriksaan kesihatan lain.

Katanya lagi, “Ini merupakan antara penemuan yang dilakukan oleh pakar-pakar dan ia dapat memulakan langkah pencegahan bagi penduduk di kawasan ini.”

Program ini juga menekankan kepentingan menangani peningkatan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, hipertensi, dan obesiti.

Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2023, hampir 34.38% rakyat Malaysia mempunyai paras gula dalam darah yang tinggi, menunjukkan kepentingan langkah pencegahan dan pendidikan kesihatan.

Antara aktiviti yang diadakan termasuk ceramah, pemeriksaan kesihatan percuma, senamrobik dan aktiviti kanak-kanak.

Program ini mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak, termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Pejabat Kesihatan Daerah Manjung dan Jabatan Kesihatan Negeri Perak.

YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry turut menyatakan penghargaan kepada UKM atas usaha mereka yang sentiasa aktif turun ke bawah memberi khidmat kepada masyarakat.

Penganjuran program ini menunjukkan komitmen pelbagai pihak dalam meningkatkan kesedaran kesihatan dan menawarkan perkhidmatan kepada masyarakat setempat, menjadikan ia satu model kerjasama yang berjaya.

Hadir sama Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman; Pro Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur) UKM, Dato' Prof. Dr. Hanafiah Harunarashid; serta Pengarah HCTM, Dato' Dr. Azmi Baharudin. 

  • Last updated on .
  • Hits: 942
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 06 December 2024, 10:19:49.

sirim-logo