UTM Dan UMPSA Terima Naib Canselor Baharu
![UTM Dan UMPSA Terima Naib Canselor Baharu](/templates/yootheme/cache/e2/2025-01-08-YBM-01-e24b4008.jpeg)
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menyerahkan watikah pelantikan kepada Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang baharu bagi tempoh dua (2) tahun berkuat kuasa mulai 9 Januari 2025, juga kepada Prof. Dr. Yatimah Alias sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bagi tempoh yang sama berkuat kuasa mulai 13 Januari 2025 di pejabatnya petang semalam.
Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, 49, merupakan pakar dalam bidang Sains Komputer (Pemprosesan Imej) dan memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Spatial Modelling dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2008.
Beliau berpengalaman luas dalam tadbir urus universiti dan telah memegang pelbagai jawatan pentadbiran antaranya sebagai Timbalan Dekan (Ko-kurikulum dan Pembelajaran Servis) Sekolah Pengajian Prasiswazah UTM pada tahun 2015, Pengerusi Sekolah Pengajian PraSiswazah UTM pada tahun 2019, Pengerusi Institute for Life Ready Graduates (iLeaGue) UTM pada tahun 2020 serta merupakan Felo Penyelidik di Media and Game Innovation of Excellence (MaGICX), Institute of Human-Centred Engineering (iHuMeN), UTM sebelum dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM pada tahun 2023.
Manakala, Prof. Dr. Yatimah Alias, 55, merupakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaya (UM) sejak tahun 2022.
Beliau memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Kimia dari University of East Anglia, Australia pada tahun 1999 dan merupakan pakar dalam bidang Electrochemistry dan Ionic Liquids.
Pelantikan Prof. Dr. Yatimah sebagai Naib Canselor UMPSA adalah berdasarkan kepada reputasi akademik beliau yang diiktiraf serta pengalaman luas yang dimiliki dalam pengurusan pentadbiran di UM.
Beliau pernah dilantik sebagai Pengarah Pusat Pembangunan Kokurikulum UM dari tahun 2014 hingga 2018, Pengarah Pusat Perancangan Strategik Akademik UM dari tahun 2018 hingga 2022 dan Presiden Malaysian Ionic Liquids Research Society (MILRS) dari tahun 2017 hingga 2022.
Kementerian yakin pelantikan kedua-dua Naib Canselor UTM dan UMPSA baharu ini akan memperkasakan pembangunan akademik dan penyelidikan berteraskan teknologi terkini serta melahirkan graduan berminda global yang bersifat industry-ready, berdaya saing, kreatif dan inovatif serta mempunyai jati diri yang tinggi.
Kementerian turut mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kedua-dua mantan Naib Canselor UTM dan UMPSA iaitu Datuk Prof. Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail dan Dato’ Prof. Ts. Dr. Yusserrie Zainuddin atas jasa dan bakti sepanjang menerajui UTM dan UMPSA sebelum ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Mohamad Azhan Md Amir; serta Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman.
- Last updated on .
- Hits: 212