YB Menteri Alu-Alukan 28,968 Pelajar Sesi Baharu PolyCC
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai penyedia pendidikan TVET terbesar negara melalui 36 buah Politeknik dan 106 Kolej Komuniti telah merekodkan pengambilan baharu tertinggi bagi Sesi 1 2024/2025 iaitu sebanyak 28,968 orang pelajar.
Rekod tersebut membuktikan bidang TVET mula menjadi pilihan melanjutkan pengajian dan dengan kadar kebolehpasaran graduan setinggi 89%, sekali gus mampu menjadi pilihan kerjaya yang menjamin masa hadapan.
Justeru, YB Menteri Pendidikan Tinggi merakamkan setinggi-tinggi tahniah serta mengalu-alukan kesemua pelajar baharu POLYCC 2024 yang telah menjadikan TVET sebagai pilihan pengajian masing-masing.
YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir mengungkapkan yang demikian ketika sesi dialog bersama kesemua pelajar baharu yang telah diadakan secara maya melibatkan 35 buah politeknik seluruh negara serta secara fizikal bersama 1,000 orang pelajar di Politeknik Nilai (PNS) pagi tadi.
Program yang julung-julung kali diadakan tersebut dianjurkan bersempena Minggu Suai Kenal para pelajar baharu POLYCC bagi Sesi 1 2024/2025 yang telah memulakan pengajian mereka minggu ini.
Menurut YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, sistem pendidikan TVET KPT telah ditambahbaik supaya bukan sahaja mampu melahirkan bakat terlatih, malah membolehkan graduannya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) juga Universiti Awam lain di seluruh negara.
Tambahnya, kerajaan telah membangunkan dasar yang lebih inklusif dan menyeluruh bagi memastikan semua pelajar berpeluang mengecapi pendidikan di peringkat lebih tinggi menggunakan kemahiran serta bakat yang ada, dan tidak terhad kepada kecemerlangan dalam bidang akademik semata-mata.
Di majlis itu juga, YB Menteri telah turut menyampaikan sijil penghargaan serta wang tunai RM1,000 setiap seorang sumbangan Yayasan Perkasa Siswa (YPS) kepada Hero POLYCC iaitu Ahmad Danial Safwan Ahmad Safri dari Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS); Naufal Zahari dari Politeknik Sandakan Sabah (PSS); dan Mohamad Haikal Danis Mohamad Nasir dari Politeknik Seberang Perai (PSP).
Ketiga-tiga mereka telah menjadi wira apabila bertindak pantas menyelamatkan nyawa dua orang kanak-kanak dan seorang wanita yang nyaris menjadi mangsa lemas dalam satu kejadian di Pulau Perhentian, Terengganu pada 6 Julai lalu.
Beliau turut berbesar hati menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan TikTok Campus Vibe Challenge #GENGPOLYCC.
Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Mohamad Azhan Md Amir; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dato' Dr. Haji Mohd Zahari Ismail; dan barisan pengurusan tertinggi JPPKK.
- Last updated on .
- Hits: 2605