YB Menteri Pengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat PPTM 2025-2035 Bilangan 3
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bakal melakar sejarah baharu dengan pelancaran Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025-2035 yang kini sedang dirapikan di fasa akhir.
Semalam, Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025-2035 Bilangan 3 yang dipengerusikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah berlangsung bagi membentangkan draf akhir PPTM 2025-2035 kepada ahli Jawatankuasa Penasihat.
Pembentangan telah dibuat oleh Pengerusi Kumpulan Pakar, Profesor Emerita Datuk Dr. Asma Ismail dalam mesyuarat yang turut dihadiri oleh YB Timbalan Menteri, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Ketua Setiausaha (KSU), Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dan pengurusan tertinggi KPT yang lain serta ahli-ahli Jawatankuasa Pemandu PPTM.
Melalui mesyuarat ini, pelbagai pandangan telah dibincangkan seperti input daripada YAB Perdana Menteri bagi penambahbaikan dasar berpandukan lawatan kerja beliau ke luar negara.
Turut dibincangkan usaha penyesuaian revolusi teknologi (AI, digital dan STEM) dalam sistem pendidikan tinggi demi membangunkan kerangka bersifat 'game-changers' sebagai pemangkin transformasi pendidikan negara.
Menurut YB Menteri, PPTM 2025-2035 yang bakal dilancarkan nanti bakal memfokuskan kepada pendidikan tinggi bercirikan ‘Future-Proof’ yang merangkumi kemahiran kreativiti, penyelesaian masalah kompleks, dan Pembelajaran Sepanjang Hayat.
PPTM 2025-2035 turut akan meningkatkan kolaborasi Industri-Akademia yang bakal melihat jalinan strategik kedua-dua sektor untuk latihan praktikal dan penyelidikan berimpak tinggi.
Malah, melalui PPTM 2025-2035, ekosistem pendidikan tinggi negara bakal melalui transformasi menyeluruh melalui libat urus antara IPT, pelajar, industri dan komuniti bagi memastikan kesan yang holistik.
Turut dimasukkan pelbagai idea terkini daripada model pendidikan antarabangsa digabung dengan keperluan tempatan, termasuk platform digital untuk akses pendidikan lebih luas.
YB Menteri seterusnya menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang tenaga, idea dan komitmen.
PPTM 2025-2035 dijangka dilancarkan tahun ini yang bakal menjadi panduan 10 tahun akan datang dalam usaha melonjakkan pendidikan tinggi negara ke persada global seiring luruan teknologi yang pesat berkembang.
- Last updated on .
- Hits: 116