YB Timbalan Menteri Menyampaikan Sumbangan Ramadan MADANI YAPEIM, Bantu Kumpulan Memerlukan

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud hadir menyempurnakan program Ramadan MADANI YAPEIM yang buat julung kalinya dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) di peringkat negeri Sabah, petang semalam.
Program ini dianjurkan bertujuan menyantuni kumpulan sasar sebagai persiapan untuk berbuka puasa serta persediaan menyambut hari raya Aidilfitri. Di samping itu juga, sebagai usaha bersepadu YAPEIM dalam menggerakkan aktiviti-aktiviti teras bagi tahun 2025 iaitu teras bantuan kemasyarakatan dan bantuan pendidikan.
Dalam pada itu, sumbangan berjumlah RM47,000 telah disalurkan yang membabitkan sumbangan YAPEIM Didik berjumlah RM30,000 dalam bentuk bantuan kewangan RM100 setiap satu kepada 300 orang pelajar iaitu kepada pelajar IPT dan pelajar sekolah menengah/ rendah; Tajaan pelaksanaan majlis berbuka puasa kepada 300 penerima manfaat dan 100 tetamu jemputan berjumlah RM12,000 dan lain-lain kos seperti kos teknikal dan pengangkutan
berjumlah RM5,000.
Dalam ucapannya, beliau mengucapkan terima kasih kepada YAPEIM atas sumbangan yang dihulurkan dan berharap ia dapat meringankan beban penerima manfaat pada petang ini sekali gus memberi keceriaan kepada mereka dalam menyambut hari raya Aidilfitri yang akan menjelang tiba.
“Saya juga berharap lebih ramai lagi yang berkemampuan akan mula memberi sumbangan secara berkala kepada Tabung Amanah YAPEIM seterusnya membolehkan YAPEIM menyalurkan sumbangan yang diterima kepada lebih ramai yang memerlukan.” tambahnya lagi.
Hadir sama, Pengarah Politeknik Kota Kinabalu, YBrs. Encik Md Nor Abdul Halim; dan Ketua Divisyen Pembangunan Sosioekonomi YAPEIM, Encik Muhamad Khairul Anuar Ibrahim.
- Last updated on .
- Hits: 149