YBM Hadiri Majlis Perasmian Persidangan Ketua-ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia Ke-9 (HOMC9)

YBM Hadiri Majlis Perasmian Persidangan Ketua-ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia Ke-9 (HOMC9)
English translation not available for this content.

YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi telah hadir ke Majlis Perasmian Persidangan Ketua-Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia ke-9 (HOMC9) yang telah disempurnakan oleh YAB Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri di Wisma Putra malam tadi.

Persidangan 2 hari yang bermula hari ini telah diadakan secara maya dan disertai oleh para wakil diplomatik Malaysia yang sedang bertugas di seluruh pelusuk dunia.

Dalam ucaptamanya, PM merakamkan penghargaan kepada para perwakilan yang telah membantu kerajaan dalam menguruskan perihal diplomatik tatkala negara dan dunia dilanda pandemik COVID-19.

Beliau berbangga dengan pelbagai inisiatif dan usaha yang telah digembleng oleh semua pihak sejurus pintu sempadan kembali dibuka hingga negara berjaya mendapat pelbagai pengiktirafan antarabangsa terutamanya melibatkan sektor ekonomi.

Bersempena penyertaan beliau di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-77 yang akan bermula minggu hadapan, PM turut menyatakan hasrat untuk membawa konsep Keluarga Malaysia ke pentas antarabangsa agar ia dapat diterima para pemimpin yang hadir dan sekaligus menjadi perintis kepada konsep baharu kesepaduan masyarakat berbilang bangsa di seluruh dunia kelak.

Pada majlis tersebut, PM turut melancarkan Buku Daftar Istilah Diplomasi dan Hubungan Antarabangsa terbitan Wisma Putra sebagai memperkasakan usaha kerajaan dalam memartabatkan Bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa diplomatik yang disegani dunia.

Turut sama YB Dato' Sri Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri, YB Dato' Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, serta YBhg. Tan Sri Dato' Seri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara.

  • Last updated on .
  • Hits: 2966
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 April 2024, 16:56:01.