YB. Menteri Pengajian Tinggi menerima kunjungan daripada YB Nurul Izzah Anwar bagi membincangkan agenda memperkasa dan menaikkan taraf TVET

English translation not available for this content.

Hari ini, YB Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi menerima kunjungan daripada YB Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Permatang Pauh yang sebelum ini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Mereka telah berbincang mengenai agenda memperkasa dan menaikkan taraf TVET supaya TVET Malaysia mampu setanding dengan industri TVET di Jerman yang menjadi tulang belakang tenaga kerja di negara itu.

Hal ini adalah kesinambungan dengan Mesyuarat Majlis TVET Negara (MTVET) yang telah dipengerusikan oleh YAB Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin Haji Mohd. Yassin, Perdana Menteri Malaysia dengan disertai oleh menteri-menteri kabinet dan wakil industri secara dalam talian pada 11 Februari yang lalu.

Penubuhan MTVET adalah manifestasi Kerajaan dalam menambahbaik penyelarasan ekosistem TVET negara di mana MTVET adalah badan tertinggi dalam membuat keputusan berkaitan hala tuju TVET negara.

MTVET akan memperhalusi isu-isu seperti ketidakselarasan tadbir urus TVET, kekurangan akses pelajar dan komuniti kepada program TVET, penggunaan fasiliti yang tidak optimum, kurang kerjasama dan pengiktirafan daripada pihak industri, sumber pembiayaan pelajar yang terhad, penerimaan masyarakat yang rendah terhadap program TVET dan persepsi negatif ibu bapa terhadap peluang kerjaya bidang TVET bagi anak-anak mereka.

Secara ringkasnya, MTVET merupakan wadah jangka panjang untuk mengarusperdana agenda pemerkasaan TVET dengan lebih terselaras bagi menjayakan visi negara maju.

Bagi menjayakan hasrat ini, ianya memerlukan penglibatan dan sokongan daripada pelbagai pihak seperti kementerian-kementerian, agensi-agensi kerajaan, wakil-wakil industri, wakil daripada akademia dan lain-lain.

  • Last updated on .
  • Hits: 7549
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 27 March 2024, 16:20:33.