Kempen Mesti Menang Promosi Strategi Pemulihan Negara

English translation not available for this content.

Oleh DATUK SERI DR. NORAINI AHMAD, MENTERI PENGAJIAN TINGGI

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) akan terus komited membantu kerajaan dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) sebagai strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik Covid-19.

Salah satu medium untuk mempromosikan starategi ini ialah menerusi kerjasama strategik dengan KRU Studios dalam penganjuran Kempen Mesti Menang.

Kempen ini memberitumpuan kepada empat fokus utama, iaitu peranan Hospital Pengajar Universiti (HPU), penyediaan Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pendidikan Tinggi (PPV IPT), usaha kesukarelawanan dan inisiatif Food Bank.

Ia turut mengetengahkan elemen kesedaran mengenai pematuhan undang-undang, menggalakan masyarakat mendapatkan vaksinasi dan penghargaan kepada petugas barisan hadapan, yang semuanya akan dizahirkan melalui lagu serta klip video yang dihasilkan secara bersama oleh KPT dan KRU Studios.

Kandungan kempen yang dipersembahkan melalui penerbitan video-video pendek akan memperlihatkan usaha KPT dalam menyokong strategi kerajaan terutama melalui Program Imunisasi Nasional Covid-19.

Majlis pelancaran Kempen Mesti Menang akan disiarkan secara langsung di laman Facebook rasmi KPT pada Selasa, 3 Ogos 2021, yang mana KPT akan melancarkan lagu tema ‘Mesti Menang’ yang dicipta oleh KRU Music.

pix 1Noraini bertanya khabar seorang penerima vaksin di PPV Dewan Sultan Ibrahim, Universiti Tun Hussien Onn Malaysia, Batu Pahat, Johor baru-baru ini.

KPT menerusi HPU memainkan tanggungjawab penting dalam membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi merawat pesakit Covid-19 dan pesakit bukan Covid-19.

Sebagai langkah membantu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dalam menyediakan lebih akses kepada rakyat untuk divaksin, KPT telah mengenal pasti beberapa buah Universiti Awam (UA) dan HPU yang berpotensi untuk dijadikan PPV.

Model PPV IPT ini mengguna pakai model PPV di bawah KKM yang akan melibatkan UA, HPU, Pusat Kesihatan Universiti serta Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan sebagai tonggak kepada setiap PPV IPT.

Sehingga kini, terdapat 40 buah PPV IPT yang telah beroperasi di seluruh negara.

Dalam masa terdekat, KPT merancang untuk membuka dua lagi PPV IPT, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 42 buah PPV IPT yang terdiri daripada pelbagai mod operasi iaitu statik, bergerak dan pandu lalu.

PPV IPT turut giat mengadakan kempen daftar vaksin bukan sahaja kepada semua warga pengajian tinggi, malah turut diperluaskan kepada penduduk dan masyarakat sekitar.

pix onlineNoraini sentiasa turun padang meninjau operasi di PPV IPT yang tidak hanya memberi vaksin kepada warga universiti, malah untuk masyarakat sekitar.

Kempen Mesti Menang juga menggalakkan lebih ramai warga pengajian tinggi dalam kalangan staf, para pelajar dan alumni untuk mendaftar sebagai sukarelawan agar bersama-sama menjayakan sasaran kerajaan mencapai imuniti kelompok.

Salah satu fokus penting kempen ini adalah berkenaan kebajikan para pelajar dan barisan hadapan warga pengajian tinggi.

KPT telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan kerjasama dengan Sekretariat Food Bank bagi menjenama dan menstruktur semula Inisiatif Food Bank Siswa di IPT.

Melalui kerjasama ini, KPT dan Sekretariat Food Bank berazam memastikan struktur mekanisme penyelarasan bantuan Food Bank Siswa dibentuk lebih sistematik dan berstrategi di IPT.

Inisiatif nafas baharu ini menyasarkan pelajar dalam kalangan B40, asnaf, fakir miskin dan golongan berkeperluan, sekali gus menangani isu peningkatan kos sara hidup yang membelenggu kini.

Klip video Kempen Mesti Menang akan disiarkan melalui platform media sosial dan boleh ditonton di lebih 360 platform penstriman di seluruh dunia seperti Spotify, iTunes, Apple Music, Deezer dan Joox.

  • Last updated on .
  • Hits: 15424
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 April 2024, 16:56:01.