KENYATAAN MEDIA
10 Buah Universiti Tempatan Kini Dalam Kelompok 110 Terbaik Asia Berdasarkan Quacquarelli Symonds (Qs) World University Rankings : Asia 2021
Buat julung-julung kalinya, 10 buah Universiti Tempatan yang terdiri dari tujuh (7) buah Universiti Awam dan tiga (3) buah Universiti Swasta kini berada dalam kelompok 110 universiti terbaik Asia.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings: Asia 2021 pada 25 November 2020, Universiti Malaya (UM) mendahului lain-lain universiti di tempat ke-9, diikuti Universiti Putra Malaysia (ke-28), Universiti Sains Malaysia (ke-34), Universiti Kebangsaan Malaysia (ke-35), Universiti Teknologi Malaysia (ke-39), Universiti Teknologi PETRONAS (ke-70), Universiti Taylor's (ke-89), Universiti UCSI (ke-105), Universiti Utara Malaysia (ke-107) dan Universiti Teknologi MARA (ke-108).
Kejayaan ini merupakan kejayaan terbaik negara setakat ini dan membuktikan bahawa hala tuju Pendidikan Tinggi Negara berada di atas landasan yang betul. Tahun 2020 merupakan separuh penggal pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) (PPMPT) dan telah menunjukkan peningkatan kualiti dan kecemerlangan institusi pendidikan tinggi tempatan dalam tempoh yang singkat.
Kejayaan ini juga secara tidak langsung akan terus menempatkan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi di rantau Asia ini dan juga dapat membantu institusi dalam menjalinkan kerjasama dengan penyelidik terkemuka dunia.
Selain itu, UM buat kali pertama telah berjaya disenaraikan sebagai 10 universiti terbaik di Asia dalam penarafan kali ini dengan mendapat tempat ke-9 berbanding tempat ke-13 pada penarafan tahun lepas. UM juga telah berjaya mengatasi Shanghai Jiao Tong University yang menduduki tempat-10 dalam penarafan tahun ini. Shang Jiao Tong University merupakan universiti terkemuka yang telah memperkenalkan Academic Ranking of World Universities atau lebih dikenali sebagai Shanghai Jiao Tong University Rankings yang menilai kekuatan penyelidikan universiti di seluruh dunia.
Laporan tersebut turut menyenaraikan UM, UPM, USM, UKM UTM, UUM dan UiTM serta tiga buah universiti swasta iaitu Universiti Teknologi PETRONAS, Universiti Taylor's dan Universiti UCSI sebagai 110 universiti terbaik Asia atau 10 buah Universiti terbaik Malaysia.
Pada siri penarafan kali ini, 35 buah universiti tempatan telah tersenarai iaitu dengan pertambahan 6 buah universiti baharu berbanding dengan 29 buah universiti yang tersenarai pada tahun lepas. 24 buah universiti telah berjaya memperbaiki kedudukan berbanding tahun lepas, 3 buah universiti mengekalkan kedudukan dan 2 buah universiti jatuh dari kedudukan tahun lepas. Senarai lengkap bagi kedudukan 35 buah Universiti tempatan adalah seperti Jadual 1.
Dalam Laporan Quacquarelli Symonds (QS) juga dinyatakan bahawa Malaysia merupakan antara negara yang menunjukkan peningkatan terbaik di dalam penarafan kali ini. Sistem pendidikan negara telah diterima sebagai bereputasi tinggi di kalangan akademik dan majikan di peringkat Asia.
DATUK SERI DR. NORAINI AHMAD
Menteri Pengajian Tinggi
26 November 2020
Jadual 1
No. | IPT MALAYSIA | QS-WUR: ASIA 2020 | QS-WUR: ASIA 2021 |
---|---|---|---|
1 | UNIVERSITI MALAYA (UM) | 13 | 9 |
2 | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA (UPM) | 33 | 28 |
3 | UNIVERSITI SAINS MALAYSIA (USM) | 37 | 34 |
4 | UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA (UKM) | 39 | 35 |
5 | UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA (UTM) | 46 | 39 |
6 | UNIVERSITI TEKNOLOGI PETRONAS (UTP) | 82 | 70 |
7 | TAYLOR'S UNIVERSITY | 109 | 89 |
8 | UCSI UNIVERSITY | 122 | 105 |
9 | UNIVERSITI UTARA MALAYSIA (UUM) | 116 | 107 |
10 | UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA (UiTM) | 119 | 108 |
11 | UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA (UIAM) | 140 | 123 |
12 | UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG (UMP) | 134 | 133 |
13 | MANAGEMENT AND SCIENCE UNIVERSITY (MSU) | 179 | 139 |
14 | UNIVERSITI TUNKU ABDUL RAHMAN (UTAR) | 181 | 157 |
15 | UNIVERSITI TENAGA NASIONAL (UNITEN) | 195 | 168 |
16 | SUNWAY UNIVERSITY | 194 | 172 |
17 | MULTIMEDIA UNIVERSITY (MMU) | 170 | 190 |
18 | UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU (UMT) | 243 | 195 |
19 | UNIVERSITI MALAYSIA PERLIS (UniMAP) | 211= | 207 |
20 | UNIVERSITI MALAYSIA SABAH (UMS) | 211= | 210 |
21 | UNIVERSITI MALAYSIA SARAWAK (UNIMAS) | 243 | 251-260 |
22 | UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS (UPSI) | 351-400 | 281-290 |
23 | UNIVERSITI KUALA LUMPUR (UniKL) | 301-350 | 291-300 |
24 | UNIVERSITI TUN HUSSEIN ONN MALAYSIA (UTHM) | 301-350 | 291-300 |
25 | ASIA PACIFIC UNIVERSITY OF TECHNOLOGY AND INNOVATION (APU) | - | 301-350 |
26 | SEGI UNIVERSITY | 301-350 | 301-350 |
27 | LIMKOKWING UNIVERSITY OF CREATIVE TECHNOLOGY | 401-450 | 351-400 |
28 | LINCOLN UNIVERSITY COLLEGE | - | 351-400 |
29 | HELP UNIVERSITY | - | 401-450 |
30 | INTI INTERNATIONAL UNIVERSITY | - | 401-450 |
31 | UNIVERSITI TEKNIKAL MALAYSIA MELAKA (UTeM) | 451-500 | 401-450 |
32 | MALAYSIA UNIVERSITY OF SCIENCE AND TECHNOLOGY (MUST) | - | 451-500 |
33 | UNIVERSITI SULTAN ZAINAL ABIDIN (UniSZA) | 451-500 | 451-500 |
34 | UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA (USIM) | 501-550 | 501-550 |
35 | UNIVERSITI MALAYSIA KELANTAN (UMK) | - | 551-600 |
Jadual 2
No. | ASIA’S TOP 10 | QS-WUR: ASIA 2020 | QS-WUR:ASIA 2021 |
---|---|---|---|
1 | NATIONAL UNIVERSITY OF SINGAPORE (NUS) | 1 | 1 |
2 | TSINGHUA UNIVERSITY | 4 | 2 |
3 | NANYANG TECHNOLOGICAL UNIVERSITY (NTU) | 2 | 3 |
4 | UNIVERSITY OF HONG KONG (HKU) | 3 | 4 |
5 | ZHEJIANG UNIVERSITY | 6 | 5 |
6 | FUDAN UNIVERSITY | 7 | 6 |
7 | PEKING UNIVERSITY | 5 | 7 |
8 | THE HONG KONG UNIVERSITY OF SCIENCE AND TECHNOLOGY (HKUST) | 8 | 8 |
9 | UNIVERSITI MALAYA (UM) | 13 | 9 |
10 | SHANGHAI JIAO TONG UNIVERSITY | 17 | 10 |
- Last updated on .
- Hits: 17126