English translation not available for this content.
logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

PELANTIKAN NAIB CANSELOR UNIVERSITI MALAYSIA PERLIS (UniMAP)


Sukacita dimaklumkan bahawa YBrs. Prof. Ts. Dr. Zaliman bin Sauli dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang baharu, berkuat kuasa mulai 9 Ogos 2021.

YBrs. Prof. Ts. Dr. Zaliman bin Sauli, 54 tahun berkelayakan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Fizik dari Universiti Teknologi Malaysia, MSc. in Advanced Semiconductor Materials and Devices dari University Of Surrey, United Kingdom dan seterusnya memperolehi PhD in Microelectronic Engineering pada tahun 2012 dari Universiti Malaysia Perlis.

Bersesuaian dengan pengalaman beliau dalam pelbagai portfolio, beliau telah menyumbang kepada peningkatan kebolehpasaran graduan, memperkasa staf akademik melalui kelayakan profesional dan pengalaman industri, dan mendapatkan pengiktirafan bagi kursus akademik yang dilaksanakan oleh universiti menerusi SETARA, QS World University Subject Ranking dan THE World University Ranking. Beliau turut terlibat dalam mempergiat aktiviti penjanaan pendapatan universiti bagi memastikan kelestarian kewangan dan melaksana program berimpak yang melibatkan universiti dan komuniti melalui konsep universiti untuk masyarakat (unimap4society).

Pengalaman dan kepakaran beliau juga telah diiktiraf melalui kepercayaan untuk menerajui pelbagai Persatuan dan Majlis seperti Pengerusi IEEE Electron Devices Society Malaysia Chapter 2009-2010 Session, Pengerusi Majlis Keusahawanan Universiti Awam, Pengerusi Majlis Kesihatan Universiti Awam dan Pengerusi Sekretariat Majlis PALAPES Universiti Awam. Di samping itu, beliau juga menganggotai beberapa pertubuhan dan badan profesional seperti Malaysia Board of Technologist, Institution of Engineering & Technology, Malaysian Association of Solid State, Institute of Physics dan Society of Photo-Optical Instrumentation Engineers.

Dengan visi untuk meneraju UniMAP sebagai sebuah universiti teknikal yang berdaya saing di peringkat antarabangsa dalam bidang akademik, penyelidikan, pembangunan dan melahirkan graduan holistik, Kementerian percaya bahawa YBrs. Prof. Ts. Dr. Zaliman bin Sauli mampu untuk menggalas tanggungjawab ini dan meneruskan kesinambungan kecemerlangan kepimpinan UniMAP.

Kementerian turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YBrs. Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad atas jasa bakti beliau menerajui UniMAP selama hampir dua (2) tahun sejak tahun 2019.

Kementerian Pengajian Tinggi
10 Ogos 2021

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media Pelantikan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) (26 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 10081
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 24 April 2024, 16:08:46.