Dewan Rakyat Meluluskan Pindaan AUKU, Membolehkan Seksyen 15(2)(c) Dimansuh

English translation not available for this content.

KUALA LUMPUR, 11 Disember – Dewan Rakyat hari ini sebulat suara telah meluluskan Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2018 setelah dibacakan buat kali kedua dan ketiga oleh YB Dr. Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia.

Pindaan ini bertujuan untuk memberi lebih banyak ruang dan kebebasan kepada pelajar dalam bersuara dan berpolitik di dalam kampus.

Turut diluluskan dua lagi RUU iaitu Rang Undang-undang Institusi Pelajaran (Tatatertib)(Pindaan) 2018 dan Rang Undang-undang Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Pindaan) 2018.

YB Dr Maszlee berkata, Kementerian komited untuk memansuhkan peruntukan yang menghalang aktiviti berpolitik di dalam kampus.

Pemansuhan Seksyen 15(2)(c) selari dengan transformasi politik yang dibawa oleh Kerajaan dalam mengukuhkan institusi dekmokrasi, terutamanya dalam memberi lebih ruang kepada pelajar universiti untuk bersuara dan terlibat dengan aktiviti politik mengikut sistem demokrasi. Seksyen 15(2)(c) merujuk kepada halangan untuk pelajar universiti terlibat dalam aktiviti politik di dalam kampus.

Kementerian telah mengadakan beberapa sesi 'facts finding' bersama pemegang taruh untuk melihat persepsi dan kesediaan pemegang taruh untuk memansuh / meminda AUKU.

Hasil 'fact findings' mengesyorkan agar mempercepatkan pindaan berkaitan pelajar terutamanya dalam memansuhkan Seksyen 15(2)(c) AUKU berhubung halangan untuk pelajar universiti terlibat dalam aktiviti parti politik di dalam kampus.

"Kementerian turut memansuhkan peruntukan yang menghalang pelajar universiti terlibat dalam aktiviti parti politik di dalam kampus iaitu Seksyen 15 (2)(c) AUKU melalui pelaksanaan jangka masa pendek," kata YB Dr Maszlee ketika membentangkan pindaan RUU Universiti dan Kolej Universiti.

Pindaan ini mencipta sejarah baharu kepada negara khususnya kepada mahasiswa yang akhirnya diberi kebebasan untuk berpolitik dan bersuara di dalam kampus.

YB Dr. Maszlee berkata, beliau berharap agar mahasiswa memanfaatkan peluang ini dengan sebaik-baiknya dengan penuh tanggungjawab.

"Kerajaan komited untuk menghapuskan AUKU demi mengangkat martabat universiti dan para mahasiswa di negara ini. Perkara ini adalah selari dengan hasrat Kementerian untuk menghasilkan graduan yang seimbang dan berupaya untuk menyuarakan pendapat mengenai isu semasa.

"Transformasi politik yang dibawa oleh kerajaan mengukuhkan institusi demokrasi terutamanya dalam memberi kebebasan kepada pelajar untuk terlibat dalam aktiviti berpolitik di dalam kampus," kata beliau.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
11 Disember 2018

  • Last updated on .
  • Hits: 8055
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 April 2024, 16:56:01.